Pages

Friday, July 16, 2010

Baca Surah Yasin Malam Jumaat

Secara ringkas saya katakan baca surah Yasin pada malam Jumaat Sunat, yakni akan mendapat pahala jika dikerjakan. Ini disebabkan perintah membaca mana-mana ayat al-Qur'an itu umum tanpa terikat dengan MASA.

Selagi seseorang itu tidak iktiqadkan:
"Aku haramkan diriku membaca surah Yasin pada masa-masa lain melainkan malam Jumaat sahaja".

Ada juga yang mengatakan bid'ah jika baca surah Yasin malam Jumaat kerana bercanggah dengan galakan sahabat Abu Sa'id alKhudri yang meriwayatkan hadis:

"Barangsiapa baca surah alKahfi pada malam Jumaat, maka akan memancar cahaya antara dirinya dengan Kaabah". Hadis ini bertaraf Hasan.

Saya katakan: Hadis berkenaan secara zahir kelihatan bercanggah. Tetapi, perlu diteliti dengan lebih jelas lagi.

Hadis yang menggalakkan membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat itu hukumnya Sunat. Bukan Wajib.

Apakah boleh perkara sunat, yakni membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat menegah atau mengharamkan perkara sunat yang lain, yakni membaca surah Yasin pada malam Jumaat...??

Padahal, surah Yasin termasuk surah di dalam al-Qur'an, dan membaca al-Qur'an itu hukumnya Sunat, mendapat pahala jika dikerjakan.
______________________________________

Kesimpulannya, menurut saya:

1) Jika mahu membaca al-Qur'an buat orang yang meninggal dunia, maka lebih utama membaca surah Yasin pada malam Jumaat. Berdasarkan hadis Rasululullah s.a.w. bersabda: "Bacakanlah surah Yasin buat orang yang meninggal dunia di antara kamu."

Hadis ini menurut sebahagian ulama hadis bertaraf Daif, namun Imam Abu Daud tidak mendaifkannya, dan Syeikh Ibnu Hibban mensahihkannya. Di tambah dengan perbuatan para ulama hadis lain yang memang mensunnatkan membaca surah Yasin buat orang yang meninggal dunia, atau surah al-Baqarah atau seluruh ayat al-Qur'an. Ulama hadis yang mensunnatkan ialah Imam an-Nawawi berdasarkan peribadinya yang menukil hadis berkenaan ke dalam kitabnya al-Adzkar, juga Imam al-Baihaqi yang meletakkan hadis berkenaan ke dalam tajuk "Apa yang disunnatkan baca kepada orang yang meninggal dunia", juga Amirul Mukminin fil Hadis, iaitu Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani yang memasukkan hadis berikut ke dalam kitabnya Bulughul Maram dalam Kitab Janazah.

2) Akan tetapi, jika mahu mendapatkan lebih banyak pahala, lebih utama jika membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat. Sebab:

- Semakin panjang sesuatu surah, semakin banyak dapat ganjaran pahala.
- Mendapat cahaya yang memancar antara dirinya dengan Kaabah.

Wallahu a'lam bis shawab...



Wednesday, July 14, 2010

Siapa "Ulama"...??

Menurut saya, seorang alim salah seorang ulama. Ini kerana alim & ulama itu sama saja. Apa yang membezakan ialah "Alim", seorang (singular). "Ulama", ramai (plural). Terkadang bagi memuliakan seorang yang benar-benar dirasakan alim, maka "alim" tadi dipanggil "ulama" juga. Ini disebabkan penghormatan yang paling tinggi diberikan. Seolah-olah kealiman syeikh tadi menyamai dengan kealiman beberapa orang (lebih daripada 3 orang). Sepertimana kita sering mengucapkan salam "Assalamualaikum". "Kum" yang dibelakang itu bermaksud ramai, padahal kita hanya memberi salam kepada seorang sahaja. Namun, "Kum" itu bagi menunjukkan penghormatan kita kepada orang berkenaan bahawa menurut kita dia itu merupakan insan yang kita muliakan. Islam menggalakkan sifat hormat-menghormati. Jadi, tidak ada masalah jika kita mengucapkan salam "Assalamualaikum" dengan niat menghormati seseorang.

Seterusnya saya akan berkomentar pula mengenai "Ulama". Secara ringkas, ulama ialah:
1) Seorang alim yang mengetahui selok belok agama meliputi Akidah, Ibadah & Akhlak terutamanya.
2) Seorang alim yang mengetahui sumber-sumber hukum agama. Al-Qur'an, as-Sunnah, Ijmak & Qiyas.
3) Seorang alim yang tahu perkara-perkara yang diperselisihkan (Ikhtilaf) dalam berbagai madzhab, dan bersikap toleransi. Maksudnya, dia masih bermadzhab, namun tidak sampai menafikan madzhab-madzhab lain, bahkan bersikap memahami hujah berbagai madzhab. Orang alim ini juga tahu perkara-perkara yang disepakati sebagai BID'AH (DOLALAH). Dan turut menolak segala bid'ah yang menyesatkan.
4) Seorang yang benar-benar takut kepada Allah s.w.t.
5) Seorang yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. di dunia ini & akhirat kelak.
6) Seorang yang sudah tahu nasikh mansukh, ijmak ulama, am & khas, mujmal mubayyan, mutlaq muqayyad, Tarjih, asbabun nuzul dan asbabul wurud, cara-cara qiyas, mengetahui semua ayat-ayat al-Qur'an dan hadis Rasulullah s.a.w. yang mengandungi hukum syariat Islam. Mengetahui Ushul al-Fiqh, Ulum al-Qur'an dan Ulum al-Hadith. Cukup ini sahaja sudah memadai seseorang itu dipanggil mujtahid. Dan mujtahid inilah yang biasa sekali digelar sebagai "Ulama".

Dikatakan "Ulama" ada yang baik dan buruk. Namun, saya tidak kenal mana-mana ulama yang buruk dalam Madzhab Syafi'e. Apapun, aliran dalam Islam sungguh banyak. Hanafi, Maliki, Syafi'i, Hanbali, Salafi, Syiah, Muktazilah, Khawarij, Qadariyyah dan lain-lain...
_______________________________________________

Wallahu a'lam bis shawab.

Hadis Mursal

Madzhab Hanafi & Maliki menggunakan hadis Mursal secara mutlak.

Madzhab Ahmad menggunakan hadis Mursal saat darurat sahaja.

Manakala Madzhab Syafie tidak menggunakan hadis Mursal melainkan yang diriwayatkan oleh Tabiin Besar (Kibarut Tabiin) seperti Said al-Musayyab di Madinah & Hasan al-Basri di Iraq dan lain-lain. Serta menetapkan agar adanya salah satu daripada syarat-syarat berikut:
1) Ada hadis Musnad yang menyokong.
2) Ada hadis Mursal lain yang diterima pakai ulama.
3) Ianya bersesuaian dengan perkataan sebahagian sahabat & menjadi marfu'.
4) Diterima dari kalangan ulama sehingga ada yang mengeluarkan fatwa tentang itu.

_______________________________________________

Wallahu a'lam bis shawab...

Rujukan:
1) Kitab Ushul al-Fiqh Fiqh karya Prof. Dr. Muhammad Abu Zahrah.