Pages

Sunday, September 19, 2010

3 Puasa Serentak


Berkata Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari dalam kitab Fathul Mu'in:
"Segolongan Ulama Mutaakhirin (terkemudian) mengeluarkan fatwa bahawa pahala puasa hari Arafah dan lainnya (maksudnya Asyura', 6 hari dalam bulan Syawal, Isnin-Khamis dll) tetap boleh diperoleh dengan melakukan puasa Fardhu (Qadho' puasa Ramadhan atau puasa Nadzar) pada hari-hari tersebut. Berselisih dengan apa yang dikatakan dalam al-Majmuk yang diikuti oleh al-Asnawi, sebagaimana dikatakan oleh an-Nawawi: Jika puasa fardhu dan sunnah-sunnah tersebut diniatkan keduanya, maka kedua-duanya tidak berhasil."

Kesimpulannya:
1) Jika saudara mahu dapatkan 3 puasa serentak = 1 fardhu & 2 sunnah, contoh puasa qodho' Ramadhan + puasa syawal + puasa hari Isnin, maka saudara hanya cukup niatkan yg puasa fardhu sahaja (niat puasa Qodho' Ramadhan).

2) Andaikata kalau nak dapat 2 puasa sunat serentak, cukup niat puasa sunat yang satu sahaja. Contoh: Ingin buat puasa sunat Syawal dengan puasa hari Isnin. Cukup niat puasa Isnin (pilih satu sahaja, atau niat puasa syawal sahaja).

Apa terjadi kalau menggabungkan niat..?? Seperti kata Imam an-Nawawi dan diikuti oleh al-Asnawi tadilah...tidak berhasil akan ia.

Daripada Abu Salamah radhiyallahu 'anhu berkata bahawa dia mendengar Saidatina Aisyah Radhiyallahu anha berkata: "Aku masih ada hutang puasa Ramadhan. Tetapi aku belum membayarnya sehingga tiba bulan Sya'ban barulah aku bayar."
(Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Jadi, hadis ini menunjukkan Saidatina Aisyah menjalankan ibadah qodho' puasa Ramadhan pada bulan Sya'ban (bulan yang disunnatkan berpuasa kerana pada bulan tersebut Rasulullah shallallahu alaihi wasallam banyak berpuasa, apabila ditanya mengapa? Rasulullah s.a.w. menjawab kerana amal diangkat pada bulan tersebut, maka aku suka jika amal diangkat ketika aku sedang berpuasa). Hadis tentang ini adalah riwayat Imam Ahmad dan Imam an-Nasa'i.

Wallahu a'lam bis shawab.

Thursday, August 19, 2010

Persoalan: Anjing, Najis Atau Tidak..???


Sumber hukum Islam tidak sekadar al-Qur'an bahkan Hadis juga.

Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Sucinya tempat air seseorang di antara kamu bila dijilati anjing adalah dibasuh tujuh kali, basuhan pertama dengan air tanah." Dikeluarkan oleh Muslim.
Menurut riwayat at-Tirmidzi: "Basuhan terakhir atau permulaan."

Menurut Imam Malik rahimahullah, anjing tidak najis sebab bagaimana boleh dikatakan najis padahal Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam mengharuskan berburu binatang dengan anjing..??? Dan menurut Imam Malik lagi, hadis di atas itu bukan bermaksud najis, tetapi ianya merupakan ibadah berbentuk taabudiyyah.

Menurut para ulama madzhab Syafi'i pula, anjing itu najis. Sebab hadis berkenaan menyatakan air liur anjing itu wajib dibasuh dengan tujuh basuhan, dan salah satu basuhan dengan air tanah. Para ulama madzhab Syafi'i membuat perkaitan dengan hadis basuhan yang lain.

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: "Seorang Arab Badwi (pedalaman) datang lalu kencing di sudut masjid. Orang-orang (yang ada) sama-sama menengkingnya, lalu Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam melarang mereka. Setelah selesai kencing, Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan agar diambil setimba air lantas ditumpahkan pada bekas kencing itu." Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Berdasarkan hadis ini, air kencing itu najis sebab perlu dibasuh ke atasnya.

Cuba bayangkan, betapa mungkin anjing tidak najis, padahal perlu dibasuh tujuh kali basuhan dan satu basuhan dengan menggunakan air tanah...???

Kesimpulannya, dalam Madzhab asy-Syafi'i, anjing itu najis.

Apapun, kedua Imam Madzhab (Malik dan Syafi'i) setuju apabila sesuatu terkena jilatan anjing maka perlu dibasuh 7 kali.

Pendapat Imam Malik pun dikira kuat. Tetapi masih ada pertanyaan. Apakah jika anjing buruan tangkap binatang, binatang yg ditangkap itu perlu dibasuh..???

Sebab Imam Malik perlu ingat, walaupun beliau tidak menganggap anjing itu najis, tetapi beliau menganggap basuhan 7 kali bagi sesuatu yang terkena jilatan anjing sebagai taabudiyyah.

Maka, kena basuh juga kan!

Lalu, apakah perbezaannya lagi ini??

Melainkan perbezaan tanggapan sahaja sama ada najis atau tidak.

Wallahu a'lam bis shawab...

Rujukan:
1. al-Fiqh al-Manhaji 'ala Madzhab asy-Syafi'i.
2. Ibanatul Ahkam Syarh Bulughul Maram.

Friday, July 16, 2010

Baca Surah Yasin Malam Jumaat

Secara ringkas saya katakan baca surah Yasin pada malam Jumaat Sunat, yakni akan mendapat pahala jika dikerjakan. Ini disebabkan perintah membaca mana-mana ayat al-Qur'an itu umum tanpa terikat dengan MASA.

Selagi seseorang itu tidak iktiqadkan:
"Aku haramkan diriku membaca surah Yasin pada masa-masa lain melainkan malam Jumaat sahaja".

Ada juga yang mengatakan bid'ah jika baca surah Yasin malam Jumaat kerana bercanggah dengan galakan sahabat Abu Sa'id alKhudri yang meriwayatkan hadis:

"Barangsiapa baca surah alKahfi pada malam Jumaat, maka akan memancar cahaya antara dirinya dengan Kaabah". Hadis ini bertaraf Hasan.

Saya katakan: Hadis berkenaan secara zahir kelihatan bercanggah. Tetapi, perlu diteliti dengan lebih jelas lagi.

Hadis yang menggalakkan membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat itu hukumnya Sunat. Bukan Wajib.

Apakah boleh perkara sunat, yakni membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat menegah atau mengharamkan perkara sunat yang lain, yakni membaca surah Yasin pada malam Jumaat...??

Padahal, surah Yasin termasuk surah di dalam al-Qur'an, dan membaca al-Qur'an itu hukumnya Sunat, mendapat pahala jika dikerjakan.
______________________________________

Kesimpulannya, menurut saya:

1) Jika mahu membaca al-Qur'an buat orang yang meninggal dunia, maka lebih utama membaca surah Yasin pada malam Jumaat. Berdasarkan hadis Rasululullah s.a.w. bersabda: "Bacakanlah surah Yasin buat orang yang meninggal dunia di antara kamu."

Hadis ini menurut sebahagian ulama hadis bertaraf Daif, namun Imam Abu Daud tidak mendaifkannya, dan Syeikh Ibnu Hibban mensahihkannya. Di tambah dengan perbuatan para ulama hadis lain yang memang mensunnatkan membaca surah Yasin buat orang yang meninggal dunia, atau surah al-Baqarah atau seluruh ayat al-Qur'an. Ulama hadis yang mensunnatkan ialah Imam an-Nawawi berdasarkan peribadinya yang menukil hadis berkenaan ke dalam kitabnya al-Adzkar, juga Imam al-Baihaqi yang meletakkan hadis berkenaan ke dalam tajuk "Apa yang disunnatkan baca kepada orang yang meninggal dunia", juga Amirul Mukminin fil Hadis, iaitu Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani yang memasukkan hadis berikut ke dalam kitabnya Bulughul Maram dalam Kitab Janazah.

2) Akan tetapi, jika mahu mendapatkan lebih banyak pahala, lebih utama jika membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat. Sebab:

- Semakin panjang sesuatu surah, semakin banyak dapat ganjaran pahala.
- Mendapat cahaya yang memancar antara dirinya dengan Kaabah.

Wallahu a'lam bis shawab...



Wednesday, July 14, 2010

Siapa "Ulama"...??

Menurut saya, seorang alim salah seorang ulama. Ini kerana alim & ulama itu sama saja. Apa yang membezakan ialah "Alim", seorang (singular). "Ulama", ramai (plural). Terkadang bagi memuliakan seorang yang benar-benar dirasakan alim, maka "alim" tadi dipanggil "ulama" juga. Ini disebabkan penghormatan yang paling tinggi diberikan. Seolah-olah kealiman syeikh tadi menyamai dengan kealiman beberapa orang (lebih daripada 3 orang). Sepertimana kita sering mengucapkan salam "Assalamualaikum". "Kum" yang dibelakang itu bermaksud ramai, padahal kita hanya memberi salam kepada seorang sahaja. Namun, "Kum" itu bagi menunjukkan penghormatan kita kepada orang berkenaan bahawa menurut kita dia itu merupakan insan yang kita muliakan. Islam menggalakkan sifat hormat-menghormati. Jadi, tidak ada masalah jika kita mengucapkan salam "Assalamualaikum" dengan niat menghormati seseorang.

Seterusnya saya akan berkomentar pula mengenai "Ulama". Secara ringkas, ulama ialah:
1) Seorang alim yang mengetahui selok belok agama meliputi Akidah, Ibadah & Akhlak terutamanya.
2) Seorang alim yang mengetahui sumber-sumber hukum agama. Al-Qur'an, as-Sunnah, Ijmak & Qiyas.
3) Seorang alim yang tahu perkara-perkara yang diperselisihkan (Ikhtilaf) dalam berbagai madzhab, dan bersikap toleransi. Maksudnya, dia masih bermadzhab, namun tidak sampai menafikan madzhab-madzhab lain, bahkan bersikap memahami hujah berbagai madzhab. Orang alim ini juga tahu perkara-perkara yang disepakati sebagai BID'AH (DOLALAH). Dan turut menolak segala bid'ah yang menyesatkan.
4) Seorang yang benar-benar takut kepada Allah s.w.t.
5) Seorang yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. di dunia ini & akhirat kelak.
6) Seorang yang sudah tahu nasikh mansukh, ijmak ulama, am & khas, mujmal mubayyan, mutlaq muqayyad, Tarjih, asbabun nuzul dan asbabul wurud, cara-cara qiyas, mengetahui semua ayat-ayat al-Qur'an dan hadis Rasulullah s.a.w. yang mengandungi hukum syariat Islam. Mengetahui Ushul al-Fiqh, Ulum al-Qur'an dan Ulum al-Hadith. Cukup ini sahaja sudah memadai seseorang itu dipanggil mujtahid. Dan mujtahid inilah yang biasa sekali digelar sebagai "Ulama".

Dikatakan "Ulama" ada yang baik dan buruk. Namun, saya tidak kenal mana-mana ulama yang buruk dalam Madzhab Syafi'e. Apapun, aliran dalam Islam sungguh banyak. Hanafi, Maliki, Syafi'i, Hanbali, Salafi, Syiah, Muktazilah, Khawarij, Qadariyyah dan lain-lain...
_______________________________________________

Wallahu a'lam bis shawab.

Hadis Mursal

Madzhab Hanafi & Maliki menggunakan hadis Mursal secara mutlak.

Madzhab Ahmad menggunakan hadis Mursal saat darurat sahaja.

Manakala Madzhab Syafie tidak menggunakan hadis Mursal melainkan yang diriwayatkan oleh Tabiin Besar (Kibarut Tabiin) seperti Said al-Musayyab di Madinah & Hasan al-Basri di Iraq dan lain-lain. Serta menetapkan agar adanya salah satu daripada syarat-syarat berikut:
1) Ada hadis Musnad yang menyokong.
2) Ada hadis Mursal lain yang diterima pakai ulama.
3) Ianya bersesuaian dengan perkataan sebahagian sahabat & menjadi marfu'.
4) Diterima dari kalangan ulama sehingga ada yang mengeluarkan fatwa tentang itu.

_______________________________________________

Wallahu a'lam bis shawab...

Rujukan:
1) Kitab Ushul al-Fiqh Fiqh karya Prof. Dr. Muhammad Abu Zahrah.

Saturday, June 26, 2010

Bid'ah Hasanah


Hujah utama ulama yang mengatakan bahawa adanya bid'ah hasanah ialah dengan usaha mereka mengumpulkan hadis-hadis yang bersangkutan.

Kumpulkan hadis-hadis tentang bid'ah:

1)
عن أَبي نَجيحٍ العِرباضِ بنِ سَارية رضي الله عنه ، قَالَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ ؛ فإنَّ كلَّ بدعة ضلالة . رواه أَبُو داود والترمذي ، حديث حسن صحيح.

Maksudnya: Abu Najih al-Irbadh bin Sariyah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Dan hendaklah kamu berhati-hati dari segala perkara-perkara baru. Sesungguhnya, setiap bid’ah itu sesat. Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi. Hadis Hasan Sahih.

2) ، وكلُّ بدْعة ضلالة وكل ضلالة في النار
Maksudnya: Semua bid’ah adalah sesat, dan semua yang sesat akan ke neraka... (Riwayat Muslim + Riwayat an-Nasa'i)


Dua hadis ini kelihatan menolak bid'ah (perkara-perkara baru) secara mutlak tanpa membataskan sama ada baik atau buruk. Mari kita renungi pula hadis seterusnya.
______________________________________

3) قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من احدث في امرنا ما ليس منه فهو رد - رواه البخاري في الصحيح
Maksudnya: Barangsiapa yang melakukan suatu pekerjaan dalam hal agama akan tetapi ternyata tiada dasarnya dalam agama, maka ianya tertolak (batal /rosak/ tidak diterima).
Riwayat Bukhari.

4) وفي رواية لمسلم [ من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد ]
Maksudnya: Siapa yang melakukan suatu amalan yang tiada (kaitan) dalam urusan ini (agama) maka ianya tertolak. Riwayat Muslim.

Dua hadis (3 & 4) ini pula seakanmengkhususkan hadis pertama dan hadis kedua. Iaitu bid'ah dalam urusan agama.
_________________________________________

Kalau sudah masuk urusan agama ini bermaksud, pengertian tentang semua bid'ah sesat ini akan dikhususkan lagi, iaitu dengan hadis:

5)
عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ .

Maksudnya: Daripada Jarir bin Abdullah, katanya: Rasulullah s.a.w. pun bersabda: Barangsiapa dalam (AGAMA) Islam yang melakukan suatu sunnah (perjalanan/pekerjaan) yang baik, maka ia akan mendapat pahala dirinya dan pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa berkurang sedikit pun. Dan barangsiapa dalam Islam yang melakukan suatu sunnah yang jelek (jahat), maka ia akan mendapat dosa dirinya dan dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa berkurang sedikit pun. Hadis Sahih, Riwayat Muslim.

- Bid'ah Hasanah dikenali juga sebagai Sunnah Hasanah.

Maka, jelas...daripada semua hadis yang kita bentangkan di sini bahawa bid'ah yang sesat sahaja yang akan melemparkan pelakunya ke dalam api neraka. Adapun bid'ah yang baik semata-mata mahu mendapatkan keredhaan Allah s.w.t., maka akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. Insya Allah.

Adapun lafaz Nabi s.a.w.: "Semua bid'ah sesat."
Bermaksud, kebanyakan bid'ah itu memang sesat, jika tiada dasarnya dalam agama. Namun, ada juga yang baik (diperakui oleh syarak).

Kesimpulannya: Hadis 1 & 2 itu umum, lalu dikhususkan oleh Hadis 3 & 4....Hadis ke 3 & 4 masih umum juga, lalu dikhususkan oleh Hadis yg ke-5...Jadi, bid'ah terbahagi kepada dua:
(1) Bid'ah Hasanah/ baik dan (2) Bid'ah Sayyiah / Buruk.

2 Jenis bid'ah:
1. Hasanah.
2. Sayyiah.

Kedua jenis bid'ah ini sebenarnya tidak salah untuk diperincikan lagi dengan membahagikan ia kepada 5:
1. Wajib. (hasanah)
2. Sunat. (hasanah)
3. Harus.
4. Makruh. (sayyiah)
5. Haram. (sayyiah)

Wallahu a'lam bis shawab...Sungguhpun begitu, ana tetap toleran dengan mereka yang kata bahawa bid'ah hasanah itu tiada. DAN HADIS PERTAMA DGN KEDUA SAMA SEKALI TIDAK BOLEH DITAKHSHIS (dikhususkan)... ini menurut beberapa kawan ana. ________________________________________

Rujukan:
1. Itqan ash-Shan'ah fi Tahqiq Makna al-Bid'ah.
2. Liku-liku Bid'ah dan Masalah Khilafiyyah.

Qunut Subuh

- Tiada Qunut Subuh dalam mazhab Hanafi & Hanbali.

- Dalam mazhab Maliki & Syafie, Qunut Subuh ada.

- Menurut mazhab Maliki, hukum Qunut Subuh ialah Sunat Ghair Muakkadah (sunat yang tidak dituntut secara berterusan).

- Dalam mazhab Syafie, hukum Qunut Subuh ialah Sunat Muakkadah (Sunat yang dituntut untuk dikerjakan secara berterusan).

Hujah dalam mazhab Syafie ada 3:

1. Imam asy-Syafie berhujah dengan hasil penelitian beliau terhadap sejarah Qunut Subuh iaitu
a) Bermula pada Perang Uhud,
b) Lalu pada peristiwa pembantaian Qurra' di Bir Ma'unah, baginda s.a.w. berqunut selama sebulan dalam semua solat fardu.
c) Setelah sebulan berlalu Baginda s.a.w. tinggalkan semua qunut melainkan pada solat Subuh.
d) Qunut Subuh ketika mendapat tentangan dari Bani Mudhar.
e) Sehinggalah tahun-tahun akhir kehidupan Baginda s.a.w. berdasarkan keterangan Abu Hurairah sekitar 7 Hijriah bahawa Baginda s.a.w. tidak lagi mendoakan kaum muslimin yang ditindas di Mekah kerana kaum Muslimin sudah dalam keadaan aman di Madinah.

Imam asy-Syafie berkata: Adapun Qunut Subuh, maka ia Sahih dilakukan oleh Nabi s.a.w. pada peristiwa Bir Ma'unah dan selepas peristiwa tersebut. Tiada seorangpun yang meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. tinggalkan Qunut Subuh.
___________________________________________

2. Sebahagian Ulama mazhab Syafie menggunakan hujah dengan hadis Anas bin Malik r.a. yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lainnya:
حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ حَدَّثَنِى أَبِى حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو جَعْفَرٍ - يَعْنِى الرَّازِىَّ - عَنِ الرَّبِيعِ بْنِ أَنَسٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ مَا زَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقْنُتُ فِى الْفَجْرِ حَتَّى فَارَقَ الدُّنْيَا.

Maksudnya:
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Sentiasalah Rasulullah s.a.w. membaca doa qunut di dalam solat Subuh sehingga beliau wafat.

Di dalam hadis ini terdapat Abu Ja'far al-Razi, perawi yang dipertikaikan. Ada yang menta'dilkan (menyatakan beliau seorang yang adil) dan ada pula yang mentajrihkan (mencacatkan beliau).

Sebahagian Muhadditsin (ulama hadis) mendaifkan hadis berkenaan. Antaranya Syeikh Nashiruddin al-Albani yang menstatuskan hadis tersebut sebagai Munkar (Daif).

Akan tetapi ramai dari para hafizh telah menilai hadis berkenaan sebagai Sahih. Ini disebutkan dalam kitab Kifayatul Akhyar fi Halli Ghoyatil Ikhtisar:
وأما القنوت فيستحب في اعتدال الثانية في الصبح لما رواه أنس رضي الله عنه قال : (( ما زال رسول الله صلى الله عليه و سلم يقنت في الصبح حتى فارق الدنيا )) رواه الإمام أحمد وغيره قال ابن الصلاح : قد حكم بصحته غير واحد من الحفاظ : منهم الحاكم والبيهقي والبلخي

Maksudnya:
Adapun Qunut, disunatkan melakukannya pada iktidal rakaat yang kedua dari solat Subuh. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lain-lainnya. Berkata Ibnus Solah: Sudah ditetapkan kesahihannya ramai dari para hafizh, di antaranya Al-Hakim, Al-Baihaqi dan Al-Balkhi.
___________________________________________

3. Sebahagian ulama mazhab Syafie menggunakan hujah dengan berdalilkan hadis yang menceritakan perbuatan para khalifah yang empat mengamalkan Qunut Subuh. Ini ada dinyatakan juga dalam kitab Kifayatul Akhyar fi Halli Ghoyatil Ikhtisor:
قال البيهقي : العمل بمقتضاه عن الخلفاء الأربعة.

Maksudnya,
Berkata pula Imam al-Baihaqi: Perbuatan qunut seperti yang ada sekarang diambil daripada para khalifah yang empat.

Berdasarkan hadis-hadis berikut:

فَأَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْحَافِظُ ، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ حَمْشَاذٍ الْعَدْلُ ، حَدَّثَنَا الْعَبَّاسُ بْنُ الْفَضْلِ الأُسْفَاطِيُّ ، حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بِشْرٍ الْعَبْدِيُّ ، حَدَّثَنَا الْعَلاءُ بْنُ صَالِحٍ ، حَدَّثَنِي بُرَيْدُ بْنُ أَبِي مَرْيَمَ ، حَدَّثَنَا أَبُو الْحَوْرَاءِ ، قَالَ : سَأَلْتُ الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ : مَا عَقَلْتَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ؟ قَالَ : عَلَّمَنِي دَعَوَاتٍ أَقُولُهُنَّ : اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ ، إِنَّكَ تَقْضِي ، وَلا يُقْضَى عَلَيْكَ أُرَاهُ قَالَ : إِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ قَالَ : فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِمُحَمَّدِ بْنِ الْحَنَفِيَّةِ ، فَقَالَ : إِنَّهُ الدُّعَاءُ الَّذِي كَانَ أَبِي يَدْعُو بِهِ فِي صَلاةِ الْفَجْرِ فِي قُنُوتِهِ

Maksudnya:
Al-Hasan bin Ali r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah mengajarku membaca beberapa kalimah untuk aku ucapkan: Ya Tuhanku, tunjukilah aku bersama orang-orang yang Engkau tunjuki, dan sihatkanlah aku bersama orang-orang yang Engkau sihatkan, dan pimpinlah aku bersama orang-orang yang Engkau pimpin, dan berkatilah aku bersama orang-orang yang Engkau berikan kurnia, dan lindungilah aku dari bencana yang Engkau takdirkan, sesungguhnya Engkaulah yang mentakdirkan dan tiadalah Engkau yang ditakdirkan dan bahawasanya tiadalah akan terhina orang yang Engkau pimpin, Maha Mulia Engkau, wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi Engkau. Muhammad bin al-Hanafiyah (Jariah Saidina Ali r.a.) berkata: Sesungguhnya doa ini merupakan doa yang selalu dibaca oleh ayah saya (Saidina Ali r.a.) pada solat Subuh dalam qunutnya. (Riwayat Baihaqi)

Juga hadis,
وَمِنْهَا مَا أَخْبَرَنَا أَبُو سَعْدٍ الْمَالِينِىُّ أَخْبَرَنَا أَبُو أَحْمَدَ بْنُ عَدِىٍّ الْحَافِظُ حَدَّثَنَا السَّاجِىُّ حَدَّثَنَا بُنْدَارٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا الْعَوَّامُ بْنُ حَمْزَةَ قَالَ : سَأَلْتُ أَبَا عُثْمَانَ عَنِ الْقُنُوتِ فِى الصُّبْحِ قَالَ : بَعْدَ الرُّكُوعِ. قُلْتُ : عَمَّنْ؟ قَالَ : عَنْ أَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُمْ. هَذَا إِسْنَادٌ حَسَنٌ.

Maksudnya:
Awam bin Hamzah telah bertanya Abu Utsman tentang qunut pada solat Subuh. Beliau menjawab: Sesudah rukuk. Awam bertanya lagi: Fatwa siapakah itu? Beliau menjawab: Fatwa Abu Bakar, Umar dan Utsman radiyallahu anhum ajmaiin. (Riwayat al-Baihaqi)Isnadnya Hasan.

Jelas daripada hadis di atas bahawa Khulafa’ al-Rasyidin juga mengamalkan membaca Qunut Subuh. Ingatlah bahawa kita digalakkan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. juga sunnah para sahabatnya yang empat (Khulafa’ al-Rasyidin) berdasarkan hadis:
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي، وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ

Maksudnya:
Hendaklah kamu semua berpegang teguh akan sunnahku dan sunnah para khalifah selepasku yang diberi petunjuk dan gigitlah dengan geraham kuat-kuat. .(Riwayat Al-Hakim, al-Thabrani, Al-Baihaqi)
______________________________________________

Wallahu a'lam bis shawab...


Rujukan:
1. Artikel Ustaz Umar Muhammad Nur.
2. Kifayatul Akhyar fi Halli Ghoyatil Ikhtisar.
3. al-Adzkar.
4. Fiqh Manhaji Ala Mazhab asy-Syafie.
5. Bidayatul Mujtahid.
6. Himpunan Hadis Daif & Maudu'