Pages

Tuesday, February 16, 2010

Masalah Qunut Subuh

PERMASALAHAN & Dakwaan

1. Selepas turun ayat 128 Surah Ali Imran, Nabi Muhammad s.a.w. tidak lagi melakukan Qunut Subuh.

2. Hadis Anas bin Malik di bawah ini telahpun distatuskan MUNKAR oleh Syeikh Nashiruddin al-Albani.
حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ حَدَّثَنِى أَبِى حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو جَعْفَرٍ - يَعْنِى الرَّازِىَّ - عَنِ الرَّبِيعِ بْنِ أَنَسٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ مَا زَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقْنُتُ فِى الْفَجْرِ حَتَّى فَارَقَ الدُّنْيَا.
Maksudnya:
Sentiasalah Rasulullah s.a.w. membaca doa qunut di dalam solat Subuh sehingga beliau wafat.

3. Ada hadis yang menyebut bahawa Qunut Subuh itu BID’AH yang mana ianya patut diperangi.

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مَنِيعٍ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ عَنْ أَبِى مَالِكٍ الأَشْجَعِىِّ قَالَ قُلْتُ لأَبِى يَا أَبَةِ إِنَّكَ قَدْ صَلَّيْتَ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَأَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِىِّ بْنِ أَبِى طَالِبٍ هَا هُنَا بِالْكُوفَةِ نَحْوًا مِنْ خَمْسِ سِنِينَ أَكَانُوا يَقْنُتُونَ قَالَ أَىْ بُنَىَّ مُحْدَثٌ. قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ.
Maksudnya:
Dari Saad bin Toriq al-Asyja’I r.a. berkata: Saya tanyakan kepada ayahku: Wahai ayahku, sesungguhnya engkau telah melakukan solat di belakang Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali di sini di Kufah selama 5 tahun. Apakah mereka berqunut dalam solat Subuh? Beliau menjawab: Wahai anakku, hal baru (bid’ah). Riwayat Imam Lima, kecuali Abu Daud.


4. Maksud Qunut itu bukan BERDOA DALAM BERDIRI tetapi lain.

5. Tiada dalil lain yang dapat menguatkan hujah mazhab Syafie bahawa Qunut Subuh itu ada.


JAWAPAN

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan Nama Allah Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


1. Ada baiknya jika kita membincangkan mengenai sebab turunnya ayat 128 surah Ali Imran itu.

Dalam suatu riwayat ada dinyatakan bahawa gigi keempat Nabi Muhammad s.a.w. telah patah pada masa perang Uhud serta mukanya berlumuran darah akibat terluka. Kemudian Baginda s.a.w. bersabda: Bagaimanakah sesuatu kaum itu boleh bahagia sekiranya mereka melakukan sedemikian terhadap Nabi mereka yang mengajak mereka kepada Tuhannya?

Maka turunlah ayat di atas (Surah Ali Imran ayat 128).
~Diriwayatkan oleh Ahmad dari Anas~

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Ibnu Umar mendengar Rasulullah s.a.w. berdoa: Ya Allah, semoga Allah melaknat al-Harts bin Hisyam, Ya Allah, semoga Allah melaknat Suhail bin Amr, ya Allah semoga Allah melaknat Sofwan bin Umayyah!

Maka turunlah ayat di atas (Surah Ali Imran ayat 128) sebagai teguran kepada Rasulullah s.a.w. di atas doanya. Kemudian mereka semua dimaafkan. (Diriwayatkan oleh Ahmad & Bukhari dari Ibnu Umar)

Keterangan
Menurut pendapat al-Hafiz Ibnu Hajar, berdasarkan kepada kedua hadis di atas dengan menggunakan cara Toriqatul Jam’i (Jalan Penggabungan) dapatlah dibuat kesimpulan bahawa:
1. Nabi s.a.w. mendoakan kecelakaan ketika dalam solat untuk orang-orang itu setelah peristiwa yang tersebut pada hadis pertama pada perang Uhud.
2. Penurunan ayat di atas (Surah Ali Imran) adalah berkenaan dengan peristiwa yang tersebut dalam hadis pertama dan yang timbul akibat dari peristiwa itu (yang tersebut dalam hadis kedua).

Akan tetapi setelah diteliti hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah, timbullah suatu kesulitan di dalam menetapkan sebab penurunan ayat di atas (Surah Ali Imran ayat 128).

Hadis itu ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. berdoa pada setiap kali selepas solat Subuh dengan doa: Ya Allah, semoga Allah melaknat kaum Ri’l, Zakwan dan Usoyyah sehinggalah Allah menurunkan ayat ini (Surah Ali Imran ayat 128).

Peristiwa doa terhadap Ri’l dan Zakwan serta Usoyyah itu disebutkan di dalam hadis Muslim yang terjadi selepas peristiwa perang Uhud.

Seterusnya Ibnu Hajar menjelaskan bahawa hadis riwayat Muslim ini adalah ma’lul (hadis yang ada illah/kecacatan tersembunyi) dan dalam pemberitahuannya adalah mudraj (hadis yang ada imbuhan pada matan atau sanad).

Jadi, jelas di sini bahawa ayat 128 Surah Ali Imran belum dapat dijadikan hujah untuk menyatakan bahawa setelah penurunan ayat itu Nabi s.a.w. tidak lagi melakukan Qunut Subuh sebab permulaan Nabi s.a.w. lakukan Qunut Subuh bermula sejak peristiwa perang Uhud itu dan Nabi s.a.w. meneruskan Qunut Subuh sehingga tahun-tahun akhir beliau.

Buktinya hadis yang menyebut bahawa Nabi s.a.w. membaca doa Qunut pada semua solat fardu selama sebulan dikeranakan peristiwa Bir Ma’unah, juga setelah sebulan dari peristiwa Bir Maunah sehinggalah tahun-tahun akhir beliau.

Hadis pada peristiwa Bir Ma’unah,
وَعَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ { أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَنَتَ شَهْرًا ، بَعْدَ الرُّكُوعِ ، يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ الْعَرَبِ ، ثُمَّ تَرَكَهُ } .مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .
Maksudya:
Dari Anas r.a. : Sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah berqunut setelah ruku’ selama satu bulan untuk mendoakan kebinasaan sebahagian suku bangsa arab. Kemudian beliau meninggalkannya. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis pada ketika diserang Bani Mudhar,
حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ حَدَّثَنَا ابْنُ شِهَابٍ عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ وَأَبِى سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - كَانَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ عَلَى أَحَدٍ أَوْ يَدْعُوَ لأَحَدٍ قَنَتَ بَعْدَ الرُّكُوعِ ، فَرُبَّمَا قَالَ إِذَا قَالَ « سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ، اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ ، اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ ، وَسَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ ، وَعَيَّاشَ بْنَ أَبِى رَبِيعَةَ ، اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ وَاجْعَلْهَا سِنِينَ كَسِنِى يُوسُفَ »
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa: Nabi s.a.w. apabila mahu berdoa untuk keselamatan atau untuk kebinasaan sesuatu golongan, beliau berqunut sesudah selesai rukuk. Dijelaskan pula bahawa Nabi s.a.w. sesudah mengucapkan سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ، اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ, berdoa: Ya Allah, selamatkanlah Walid bin Walid, Salmah bin Hisyam, Aiyasy bin Abu Rabiah serta seluruh kaum mukminin yang lemah. Ya Allah, keraskanlah tekanan-Mu atas golongan kaum Mudhar, jadikanlah tahun-tahun mereka itu sebagaimana tahun Nabi Yusuf.

Hadis setelah peristiwa doa terhadap Bani Mudhar,
أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْحَافِظُ حَدَّثَنَا أَبُو الْعَبَّاسِ : مُحَمَّدُ بْنُ يَعْقُوبَ حَدَّثَنَا بَحْرُ بْنُ نَصْرٍ الْخَوْلاَنِىُّ قَالَ قُرِئَ عَلَى ابْنِ وَهْبٍ أَخْبَرَكَ مُعَاوِيَةُ بْنُ صَالِحٍ عَنْ عَبْدِ الْقَاهِرِ عَنْ خَالِدِ بْنِ أَبِى عِمْرَانَ قَالَ : بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَدْعُو عَلَى مُضَرَ إِذْ جَاءَهُ جِبْرِيلُ فَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَنِ اسْكُتْ ، فَسَكَتَ فَقَالَ : يَا مُحَمَّدُ إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَبْعَثْكَ سَبَّابًا وَلاَ لَعَّانًا ، وَإِنَّمَا بَعَثَكَ رَحْمَةً ، وَلَمْ يَبْعَثْكَ عَذَابًا لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَىْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ ، ثُمَّ عَلَّمَهُ هَذَا الْقُنُوتَ : اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَعِينُكَ وَنَسْتَغْفِرُكَ ، وَنُؤْمِنُ بِكَ ، وَنَخْضَعُ لَكَ ، وَنَخْلَعُ وَنَتْرُكُ مَنْ يَكْفُرُكَ ، اللَّهُمَّ إِيَّاكَ نَعْبُدُ ، وَلَكَ نُصَلِّى وَنَسْجُدُ ، وَإِلَيْكَ نَسْعَى وَنَحْفِدُ ، نَرْجُو رَحْمَتَكَ وَنَخَافُ عَذَابَكَ الْجَدَّ ، إِنَّ عَذَابَكَ بِالْكَافِرِينَ مُلْحَقٌ. هَذَا مُرْسَلٌ.
Dari Khalid bin Abu Imran berkata: Sedang Rasulullah s.a.w. mendoakan kehancuran ke atas Bani Mudhar, tiba-tiba Jibril datang lantas memberi isyarat kepada Baginda agar berhenti dari terus berdoa begitu. Lalu Rasulullah s.a.w. pun berhenti. Maka Jibril pun berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah tidak mengutuskan engkau untuk menjadi pengutuk dan pelaknat, tetapi Allah mengutuskan kamu sebagai rahmat buat sekalian alam. Engkau tidak berhak sedikitpun dalam urusan mereka yang ingkar itu. Jibril pun mengajar Rasulullah s.a.w. lafaz-lafaz qunut: اللهم إنا نستعينك ونستهديك.... sehingga akhir bacaan. (Riwayat al-Baihaqi)

Hadis pada ketika tahun-tahun akhir beliau (ini nukilan penulisan daripada guru saya, Ustaz Umar Muhammad Noor ),
Di akhir riwayatnya, Abu Hurairah berkata, “Pada suatu hari, saya tidak lagi melihat Rasulullah s.a.w. mendoakan mereka (orang-orang yang tertindas di Mekah).” ketika ditanyakan tentang hal ini, maka dijawab, “Tidakkah kamu melihat mereka telah datang (ke Madinah)?”

Riwayat ini sangat jelas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. tetap melaksanakan qunut dalam solat subuh sejak perang Uhud hingga tahun-tahun terakhir kehidupan beliau di Madinah. Sebab Abu Hurairah masuk Islam setelah peperangan Khaibar pada tahun ke-7 hijriah. Dan Al-Walid bin Al-Walid bersama para sahabat Nabi s.a.w. lainnya yang tertindas di Mekah berhasil melarikan diri dan bergabung bersama kaum muslimin di Madinah beberapa hari sebelum penundukan kota Mekah pada tahun ke-8 H.

Setelah itu, tidak ada satu dalilpun yang menceritakan bahawa Rasulullah Saw meninggalkan qunut subuh hingga Baginda wafat pada tahun ke-10 hijriah. Al-Syafi'i berkata, “Adapun qunut di shalat subuh maka (perbuatan itu) sahih dilakukan Nabi s.a.w. pada peristiwa Bi'r Ma'unah dan juga setelah peristiwa itu. Tidak ada seorangpun yang meriwayatkan bahwa beliau meninggalkannya setelah itu.”

____________________________________________________

2. Syeikh Nashiruddin al-Albani menstatuskan hadis itu MUNKAR dengan hujah penilaian sebahagian ahli hadis tentang seorang perawi yang meriwayatkan hadis itu, Abu Ja’far al-Razi.

1. Abdullah bin Ahmad: Dia tidak kuat.
2. Ali bin al-Madini: Dia sering keliru.
3. Abu Zur’ah: Dia banyak salah.
4. Amr bin Ali Fallas: Al-Razi itu baik, akan tetapi hafalannya tidak baik.
5. Yahya bin Ma’in: Al-Razi itu boleh dipercayai, akan tetapi sering keliru.

Kalau mahu kata Abu Ja'far al-Razi keliru, perawi-perawi lain juga pernah keliru, ahli-ahli hadis juga pernah keliru. Melainkan 4 orang (menurut guru ana-Ustaz Umar Mnoor-silakan baca notanya mengenai Perbandingan Mutaqaddimin & Mutaakhirin dalam Mengkritik Hadis); iaitu Yazid bin Zurai', Ibnu 'Ulayyah, Bisyr al-Mufadhal dan Abd Warits bin Said. Imam Malik juga pernah keliru menurut kata Imam Syafie, walau bagaimanapun hadis yang beliau riwayatkan dipercayai dan sudah disepakati ulama untuk diterima hadis periwayatan beliau.

Walau bagaimanapun, hadis itu telah disahihkan oleh beberapa ulama hadis lain seperti yang disebutkan di dalam kitab Kifayatul Akhyar fi Halli Ghoyatil Ikhtisar:
Berkata Ibnus Solah: Sudah ditetapkan kesahihannya oleh ramai dari para hafizh, di antaranya:
1. Al-Hakim.
2. Al-Baihaqi.
3. Al-Balkhi.
4. Al-Hazimi. (Guru saya ustaz Umar menambah)
5. Al-Khatib al-Baghdadi. (Guru saya ustaz Umar menambah)
6. Dan ahli hadis yang lain...

Barangkali ahli-ahli hadis ini sangat mempercayai Abu Ja’far al-Razi sepertimana Imam al-Syafie mempercayai periwayatan Ibrahim bin Muhammad yang mana Ibrahim itu tidak dipercayai oleh ahli-ahli hadis yang lain. Jelas, bahawa penilaian setiap ahli hadis itu berbeza-beza. Dan tampak bahawa penilaian ahli hadis yang berbeza-beza memberikan impak yang besar sekali kepada ahli fiqh untuk mengistinbatkan hukum.

Sepertimana juga, hukum mengenai sentuh kemaluan adakah ianya membatalkan wuduk? Terdapat dua hadis yang bercanggah, pertama hadis Busrah yang memberikan gambaran bahawa ianya membatalkan wuduk, hadis ini telah disahihkan oleh Yahya bin Ma’in serta Imam Ahmad bin Hanbal, tetapi telah di daifkan oleh ulama-ulama Kufah. Hadis kedua pula hadis Tholq, yang memberikan gambaran bahawa ianya tidak membatalkan wuduk. Hadis ini telah disahihkan ulama-ulama Kufah, tetapi hadis ini telah didaifkan oleh ahli-ahli hadis yang lain.

____________________________________________________

3. Mengenai kata salah seorang sahabat bahawa Qunut Subuh itu bid’ah, bukanlah ianya suatu perkara yang dikira menjadi masalah, kerana boleh jadi sahabat ini tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya melakukan Qunut Subuh. Sedangkan jelas dari pelbagai riwayat lain bahawa ramai para sahabat Nabi s.a.w. yang melihat Nabi s.a.w. melakukan Qunut Subuh antaranya Anas bin Malik r.a.:

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ عَنْ أَيُّوبَ عَنْ مُحَمَّدٍ قَالَ سُئِلَ أَنَسٌ أَقَنَتَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - فِى الصُّبْحِ قَالَ نَعَمْ . فَقِيلَ لَهُ أَوَقَنَتَ قَبْلَ الرُّكُوعِ قَالَ بَعْدَ الرُّكُوعِ يَسِيرًا .
Maksudnya: Dari Muhammad bin Sirin, dia berkata: Anas bin Malik ditanya oleh seseorang: Apakah Rasulullah s.a.w. melakukan qunut pada solat Subuh? Ya, jawabnya. Kemudian orang tersebut bertanya lagi: Apakah beliau melakukannya sebelum rukuk? Dia menjawab: Setelah rukuk, sebentar. (Riwayat Bukhari)

Abdullah bin Umar (Ibnu Umar r.a.) juga pernah mengatakan bahawa solat sunat Dhuha itu bid’ah....ITU BID’AH!!! Sebab beliau tidak pernah melihat Nabi s.a.w. melakukan solat sunat Dhuha. Apa yang aneh, lama-kelamaan Ibnu Umar sendiri melakukan solat sunat Dhuha, iaitu setelah beliau merasa yakin memang Nabi s.a.w. melakukan solat sunat Dhuha.
____________________________________________________

4. Memang benar maksud qunut itu pelbagai, ada sepuluh sepertimana kata-kata Ibnul Arabi:

ذَكَرَ اِبْن الْعَرَبِيّ أَنَّ الْقُنُوت وَرَدَ لِعَشْرَةِ مَعَانٍ ، فَنَظَمَهَا شَيْخنَا الْحَافِظ زَيْن الدِّين الْعِرَاقِيّ فِيمَا أَنْشَدَنَا لِنَفْسِهِ إِجَازَة غَيْر مَرَّة : وَلَفْظ الْقُنُوت اُعْدُدْ مَعَانِيه تَجِد مَزِيدًا عَلَى عَشْر مَعَانِي مَرْضِيّه دُعَاء خُشُوع وَالْعِبَادَة طَاعَة إِقَامَتهَا إِقْرَاره بِالْعُبُودِيَّه سُكُوت صَلَاة وَالْقِيَام وَطُوله كَذَاك دَوَام طَاعَة الرَّابِح الْقُنْيه
Maksudnya:
Jumlah makna lafaz qunut kamu dapatkan, lebih dari sepuluh makna: Doa, khusyuk, ibadah, taat. Melaksanakannya termasuk pengakuan akan perhambaan. Diam, solat, berdiri, lama berdiri. Demikian juga selalu taat dan untung yang diperoleh.

Telah disepakati oleh ramai ulama bahawa yang dimaksudkan qunut di dalam semua hadis yang dibentangkan sebelum ini ialah berdoa dalam diri. Telah dijelaskan oleh Imam Syafii sendiri di dalam kitabnya al-Umm:
Orang yang ditanyakan tentang qunut pada umumnya akan berpendapat bahawa qunut pada umumnya akan berpendapat bahawa qunut itu ialah berdiri di dalam solat. Demikianlah, qunut itu ialah sebenarnya ialah berdiri dalam erti mentaati Allah Azza Wajalla, dan apabila demikian halnya, maka qunut adalah sesuatu keadaan yang tidak ada pembacaan al-Quran, dan kalau demikian, bererti sama dengan BERDIRI DALAM SOLAT UNTUK BERDOA, bukan untuk bacaan al-Quran. INILAH ERTI YANG PALING NYATA. Dengan erti inilah yang SESUAI DENGAN PETUNJUK SUNNAH dan merupakan ERTI YANG PALING TEPAT UNTUK DIUCAPKAN MENURUTKU, Allah sahaja yang lebih mengetahui.
____________________________________________________

5. Pernyataan itu tidaklah benar. Sebenarnya mazhab Syafie mempunyai dalil lain mengenai boleh dan sunatnya pengamalan Qunut Subuh ini.
فَأَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْحَافِظُ ، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ حَمْشَاذٍ الْعَدْلُ ، حَدَّثَنَا الْعَبَّاسُ بْنُ الْفَضْلِ الأُسْفَاطِيُّ ، حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بِشْرٍ الْعَبْدِيُّ ، حَدَّثَنَا الْعَلاءُ بْنُ صَالِحٍ ، حَدَّثَنِي بُرَيْدُ بْنُ أَبِي مَرْيَمَ ، حَدَّثَنَا أَبُو الْحَوْرَاءِ ، قَالَ : سَأَلْتُ الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ : مَا عَقَلْتَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ؟ قَالَ : عَلَّمَنِي دَعَوَاتٍ أَقُولُهُنَّ : اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ ، إِنَّكَ تَقْضِي ، وَلا يُقْضَى عَلَيْكَ أُرَاهُ قَالَ : إِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ قَالَ : فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِمُحَمَّدِ بْنِ الْحَنَفِيَّةِ ، فَقَالَ : إِنَّهُ الدُّعَاءُ الَّذِي كَانَ أَبِي يَدْعُو بِهِ فِي صَلاةِ الْفَجْرِ فِي قُنُوتِهِ
Maksudnya:
Al-Hasan bin Ali r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah mengajarku membaca beberapa kalimah untuk aku ucapkan: Ya Tuhanku, tunjukilah aku bersama orang-orang yang Engkau tunjuki, dan sihatkanlah aku bersama orang-orang yang Engkau sihatkan, dan pimpinlah aku bersama orang-orang yang Engkau pimpin, dan berkatilah aku bersama orang-orang yang Engkau berikan kurnia, dan lindungilah aku dari bencana yang Engkau takdirkan, sesungguhnya Engkaulah yang mentakdirkan dan tiadalah Engkau yang ditakdirkan dan bahawasanya tiadalah akan terhina orang yang Engkau pimpin, Maha Mulia Engkau, wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi Engkau. Muhammad bin al-Hanafiyah (Jariah Saidina Ali r.a.) berkata: Sesungguhnya doa ini merupakan doa yang selalu dibaca oleh ayah saya (Saidina Ali r.a.) pada solat Subuh dalam qunutnya. (Riwayat Baihaqi)

Juga hadis,
وَمِنْهَا مَا أَخْبَرَنَا أَبُو سَعْدٍ الْمَالِينِىُّ أَخْبَرَنَا أَبُو أَحْمَدَ بْنُ عَدِىٍّ الْحَافِظُ حَدَّثَنَا السَّاجِىُّ حَدَّثَنَا بُنْدَارٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا الْعَوَّامُ بْنُ حَمْزَةَ قَالَ : سَأَلْتُ أَبَا عُثْمَانَ عَنِ الْقُنُوتِ فِى الصُّبْحِ قَالَ : بَعْدَ الرُّكُوعِ. قُلْتُ : عَمَّنْ؟ قَالَ : عَنْ أَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُمْ. هَذَا إِسْنَادٌ حَسَنٌ.
Maksudnya:
Awam bin Hamzah telah bertanya Abu Utsman tentang qunut pada solat Subuh. Beliau menjawab: Sesudah rukuk. Awam bertanya lagi: Fatwa siapakah itu? Beliau menjawab: Fatwa Abu Bakar, Umar dan Utsman radiyallahu anhum ajmaiin. (Riwayat al-Baihaqi)

Jelas daripada hadis di atas bahawa Khulafa’ al-Rasyidin juga mengamalkan membaca Qunut Subuh. Ingatlah bahawa kita digalakkan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. juga sunnah para sahabatnya yang empat (Khulafa’ al-Rasyidin) berdasarkan hadis:
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي، وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
Maksudnya:
Hendaklah kamu semua berpegang teguh akan sunnahku dan sunnah para khalifah selepasku yang diberi petunjuk ...(Riwayat Al-Hakim, al-Thabrani, Al-Baihaqi)

Menurut hemat saya, ulama-ulama mazhab Syafii berhujah akan kesunatan qunut Subuh dengan hadis Anas bin Malik r.a. bahawa qunut Subuh Nabi Muhammad s.a.w. sampai wafat. Imam al-Syafie pula menguatkan hujah dengan berdasarkan penelitian beliau terhadap sejarah. Dan ada pula sebahagian ulama-ulama mazhab Syafie yang lain berhujah dengan perbuatan para khalifah yang empat (Khulafa’ al-Rasyidin).

Adapun hukum qunut Subuh itu telah dinyatakan oleh Imam an-Nawawi, seorang ulama Hadis dan Fiqh, bermazhab Syafie di dalam kitabnya al-Adzkar:
Ketahuilah bahawa membaca qunut itu memang dituntut daripada kita dalam solat Subuh, dan ia adalah SUNAT MUAKKADAH, jika ditinggalkannya tidak batal solatnya, tetapi hendaklah dia bersujud sahwi sama ada meninggalkannya dengan sengaja mahupun terlupa.

Telahpun dijelaskan di dalam kitab Usul al-Fiqh karya Professor Dr. Muhammad Abu Zuhrah dan di dalam kitab Usul al-Fiqh karya Dr. Abdul Wahab Khallaf bahawa Sunat Muakkadah itu sunat yang dituntut untuk melakukannya, juga TERCELA BAGI SIAPA YANG MENINGGALKANNYA, tetapi tidak diseksa (di akhirat kelak).

Wallahu a’lam bis shawab...
SEGALA YANG BURUK DATANG DARIPADA DIRI SAYA SENDIRI, DAN SEGALA YANG BAIK ITU DATANG DARI ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA JUA.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh!

Telah siap pada tarikh 16 Februari pada tahun 2010 (2010-02-16).

Oleh: al-Faqir Muhammad Lutfi bin Md Latib.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada ustaz Umar Muhammad Noor yang banyak membantuku mendapatkan jawapan bagi persoalan ini. Kalau mahu perbahasan lebih detail silalah lihat pada nota Ustaz Umar Muhammad Noor "Qunut Subuh Lagi..." di laman facebook beliau.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Tidak ada masalah samasekali, samada mahu berqunut subuh ataupun tidak. Sesiapa yang mahu berpegang kepada pendapat qunut subuh itu disunatkan, sila melakukannya. Sesiapa yang mahu berpegang kepada pendapat bahawa qunut subuh itu tidak disunatkan, tidak perlulah melakukannya.

    Yang akan menjadi masalah ialah jika kita bersikap taksub dalam masalah khilafiyah tanpa memperdulikan pendapat yang dipegang oleh orang lain. Yang akan menjadi bercelaru ialah jika kita mengatakan orang yang melakukan qunut itu sebagai ahli bidah yang disesatkan Allah. Atau kita mengatakan orang yang tidak berqunut itu sebagai menyalahi sunnah.

    ReplyDelete