Pages

Wednesday, January 13, 2010

Cerita Fasal Hadis

1. Pengenalan

Hadis berfungsi sebagai hujjiat. Erti kata hujjiat itu bermaksud penzahiran, penyingkapan dan penunjukan. Oleh itu, apa yang dimaksudkan Hujjiat al-Sunnah di sini ialah keadaan al-Sunnah sebagai sesuatu yang menzahirkan hukum Allah SWT atau sebagai dalil atau petunjuk ke atas hukum Allah SWT tersebut.

Jika kita mengetahui atau menyangka kewujudan hukum Allah dengan perantaraan al-Sunnah, maka wajiblah bagi diri kita untuk beramal dengannya. Dengan kata lain, al-Sunnah merupakan sumber hukum yang dengannya kita mengetahui hukum Allah SWT, dan kerananya juga ia mesti dijadikan sebagai pegangan bagi sekalian manusia terutama umat Islam itu sendiri.

Sudahpun sepakat oleh jumhur ulama, bahawasanya al-Sunnah itu sebagai sumber perundangan Islam kedua selepas al-Quran. Di mana fungsinya berbagai:

1. Terkadang, al-Sunnah berfungsi sebagai penguat hukum yang sudah ada di dalam al-Quran.
2. Terkadang, al-Sunnah itu berfungsi sebagai penafsiran atau pemerinci hal-hal yang disebut secara mujmal di dalam al-Quran, atau memberikan taqyid terhadap hal-hal yang terdapat di dalam al-Quran secara muthlaq, atau memberikan takhshish (pengecualian) terhadap ayat-ayat al-Quran yang ’am. Kerananya, tafsir, taqyid dan takhsish yang datang dari al-Sunnah itu memberikan penjelasan kepada makna yang dimaksud ayat-ayat yang ada di dalam al-Quran.
3. Terkadang, al-Sunnah tersebut menetapkan dan membentuk hukum yang tidak terdapat di dalam al-Quran, atau al-Sunnah ini menetapkan hukum yang tidak disebutkan di dalam nas al-Quran.

Al-Khathib meriwayatkan bahawa Imran bin Husain RA suatu hari duduk bersama sahabat-sahabatnya. Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata: Janganlah kamu menceritakan kepada kami selain al-Quran! Maka Imran memanggilnya: Mendekatlah ke mari! Orang yang mengatakan itupun mendekat. Kemudian Imran berkata kepadanya: Tahukah kamu, seandainya kamu dan sahabat-sahabat kamu hanya berpegang kepada al-Quran sahaja, maka apakah kamu akan mendapatkan penjelasan darinya bahawa solat Zhuhur itu empat rakaat, solat Ashar itu empat rakaat, solat Maghrib itu tiga rakaat, dan kamu mengeraskan bacaan pada dua rakaat pertama sahaja? Tahukah kamu, seandainya kamu dan sahabat-sahabat kamu hanya berpegang kepada al-Quran sahaja, maka apakah kamu akan mendapatkan keterangan darinya bahawa Thawaf mengelilingi Baitullah itu tujuh kali, begitu pula Sa’i antara Shafa dan Marwah? Selanjutnya ia berkata: Wahai kaumku! Ambillah dariku (sunnah Rasulullah), kerana sesungguhnya -Demi Allah- jika kamu mengabaikannya, nescaya benar-benar kamu akan tersesat.


2. HADIS.

Hadis menurut bahasa ialah al-jadid (baru), bentuk jamaknya adalah ahaadits, bertentangan dengan qiyas. Dinyatakan pula di dalam al-Qamus:
 الحَدِيث هُوَ الجَدِيد وَالْخَبَر  (Hadis bermaksud sesuatu yang baru atau perkhabaran).

Sedangkan menurut para ulama hadis adalah:

مَا أُضِيْفَ إِلَى النَّبِي صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ قَوْلٍ أَوْ فِعْلٍ أَوْ تَقْرِيْرٍ أَوْ وَصْفٍ خَلْقِيٍّ أَوْ خُلُقِيٍّ.
Segala sesuatu yang disandarkan kepada Nabi SAW baik ucapan, perbuatan, ketetapan, sifat diri atau sifat peribadinya.

Dengan definisi ini hadis mauquf, yakni sesuatu yang dinisbahkan kepada sahabat, dan hadis maqthu’, yakni sesuatu yang dinisbahkan kepada tabi’in, tidak termasuk dalam kategori hadis. Demikian menurut pendapat al-Karmani dan al-Thayyibi.

Namun jumhur ulama berpendapat bahawa kedua jenis hadis di atas termasuk dalam kategori hadis, kerana hadis dan khabar menurut mereka adalah sama dari segi kehujahannya. Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Hajar menjelaskan di dalam kitab Nuzhat al-Nazhar: Khabar menurut jumhur ulama hadis adalah sinonim dengan kata hadis. Dengan demikian, menurut jumhur ulama tidak ada perbezaan antara hadis dan khabar.


Oleh kerana itu, definisi hadis yang paling komprehensif menurut pandangan Dr. Nuruddin Itr adalah:
مَا أُضِيْفَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ قَوْلٍ، أَوْ فِعْلٍ، أَوْ تَقْرِيْرٍ، أَوْ وَصْفٍ خَلْقِيٍّ أَوْ خُلُقِيٍّ، أَوْ أُضِيْفَ إِلَى الصَّحَابِي أَوِ التَّابِعِي.

Segala sesuatu yang dinisabahkan kepada Nabi SAW, baik berupa ucapan, perbuatan, ketetapan, sifat diri atau sifat peribadi, atau dinisbahkan kepada sahabat atau tabi’in.


3. SUNNAH.

Al-Sunnah dari segi bahasa bererti jalan, adat atau kebiasaan. Sunnah seseorang ialah adat atau kebiasaan atau apa yang biasa ia lakukan sama ada baik atau buruk.

Di dalam surah al-Nisa’, ayat 26, Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Allah hendak menerangkan (hukum syari'at-Nya) kepadamu, dan menunjukimu kepada jalan-jalan orang yang sebelum kamu (para nabi dan shalihin) dan (hendak) menerima taubatmu. dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Dan Rasulullah SAW bersabda:
« مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ ».

Barangsiapa mengerjakan suatu pekerjaan baik dalam Islam, maka dia memperoleh pahalanya daripada orang yang mengikuti perbuatannya itu, tanpa mengurangi pahala mereka masing-masing. Dan barangsiapa yang melaksanakan suatu pekerjaan jahat, maka dia akan mendapat dosanya, dan dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosa mereka masing-masing. (Riwayat Muslim)

Dalam tradisi Islam, isitilah sunnah juga dipakai sebagai istilah perilaku Islamik. Seperti dikatakan: Si folan sesuai dengan sunnah. Mengikut istilah fuqaha’, al-Sunnah sama dengan al-Mandub, iaitu amal perbuatan yang diberi pahala bagi orang yang melakukannya dan tidak berdosa atas orang yang meninggalkannya.

Menurut istilah sebahagian muhadditsin, al-Sunnah adalah segala sesuatu yang dinisbahkan kepada Nabi SAW secara khusus, sedangkan menurut majoriti mereka, al-Sunnah meliputi segala sesuatu yang dinisbahkan kepada sahabat dan tabi’in.

Akan tetapi, hasil yang cermat menunjukkan bahawa kebanyakan kata al-Sunnah dipakai oleh ulama usul al-fiqh. Mereka (Ushuliyyin) mendefinisikannya sebagai berikut:
مَا أُضِيْفَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ قَوْلٍ، أَوْ فِعْلٍ، أَوْ تَقْرِيْرٍ

Segala sesuatu yang dinisbahkan kepada Nabi SAW, baik berupa ucapan, perbuatan ataupun ketetapan.

Mereka menjadikan istilah sunnah secara khusus untuk segala sesuatu yang dinisbahkan kepada Nabi SAW dengan tanpa menyertakan sifat diri dan sifat peribadi beliau. Sebab mereka melihat sunnah sebagai sumber tasyri’, sementara tasyri’ hanya ditetapkan dengan ucapan, perbuatan dan ketetapan Baginda SAW.

Sebutan yang paling banyak dipakai oleh ulama hadis untuk semua itu adalah (sinonim dengan) kalimah hadith.


4. ILMU RIJAL HADIS.

Ilmu Rijal Hadis adalah ilmu yang sangat luas. Mengetahuinya adalah mengetahui sebahagian yang besar dalam ilmu-ilmu Islam. Di dalam kitab Lamahat, karya Abdul Fatah Abu Ghuddah, terdapat kata-kata Imam Ali bin al-Madini: Kefahaman yang mendalam tentang makna-makna hadis adalah separuh ilmu dan mengenali para perawi adalah separuh ilmu.

Kata-kata Ibnu al-Madini ini jelas menunjukkan betapa tingginya kedudukan ilmu rijal yang sebaris dengan ilmu memahami kandungan hadis. Oleh kerana itu, ulama menulis sejumlah kitab yang tidak terhitung banyaknya tentang keadaan para perawi hadis. Ilmu ini dapat dibahagikan kepada dua. Pertama, ilmu sejarah para rawi (perawi) dan kedua, ilmu Jarh wa Ta’dil. Dalam penulisan ini, kami hanya akan membincangkan pecahan pertama sahaja yang skopnya itu sangatlah luas.

Ilmu Tarikh al-Ruwat atau Sejarah Para Perawi

Dr. Ajjaj al-Khatib menyebutkan takrif ilmu ini. Menurut beliau, ilmu Tarikh al-Ruwat ialah ilmu yang memperkenalkan perawi dari sudut yang berkait dengan penjelasan keadaan perawi, tarikh lahir dan wafat, negeri mereka, tarikh mula mendengar hadis, pengembaraan, tarikh ketibaan di sesebuah negeri, guru-gurunya, perawi lain yang menerima hadis daripadanya dan mendengar hadis dari syeikh yang alami kecacatan ingatan sebelum atau selepas berlaku kecacatan ingatan. Ilmu ini sama berkembang dengan ilmu hadis. Dari suatu sudut, ilmu ini kelihatan sebahagian dari ilmu sejarah.


Contoh-contoh Fakta Sejarah
a. Pendapat yang shahih mengenai usia Nabi Muhamad SAW, sahabatnya iaitu, Abu Bakar dan Umar RA, adalah 63 tahun.
1. Rasulullah SAW wafat pada waktu Dhuha, hari Isnin, tanggal 12 Rabi’ul Awal tahun ke-11 Hijrah.
2. Abu Bakar RA wafat pada bulan Jamadil Awal, tahun ke-13 Hijrah.
3. Umar RA wafat pada bulan Dzulhijjah, tahun ke-23 Hijrah.
4. Utsman RA terbunuh pada bulan Dzulhijjah, tahun ke-35 Hijrah, usianya 82 tahun, tetapi ada yang mengatakan 90 tahun.
5. Ali RA terbunuh pada bulan Ramadhan, tahun ke-40 Hijrah, usianya 63 tahun.

b. Dua orang sahabat yang hidup 60 tahun pada masa Jahiliyah dan 60 tahun pada masa Islam, serta meninggal di Madinah pada tahun 54 Hijrah adalah:
1. Hakim bin Hizam.
2. Hasan bin Tsabit.

c. Pemilik mazhab yang mempunyai pengikut:
1. Nu’man bin Tsabit, lahir pada tahun 80 Hijrah, dan wafat tahun 150 Hijrah.
2. Malik bin Anas, lahir tahun 93 Hijrah, dan wafat tahun179 Hijrah.
3. Muhammad bin Idris as-Syafi’i, lahir tahun 150 Hijrah, dan wafat tahun 204 Hijrah.
4. Ahmad bin Hanbal, lahir tahun 164 Hijrah, dan wafat tahun 241 Hijrah.

d. Penyusun kitab-kitab hadis rujukan:
1. Muhammad bin Ismail al-Bukhari, lahir tahun 194 Hijrah, dan wafat tahun 256 Hijrah.
2. Muslim bin al-Hajjaj an-Naisaburi, lahir tahun 204 Hijrah, dan wafat tahun 261 Hijrah.
3. Abu Daud as-Sijistani, lahir tahun 202 Hijrah, dan wafat tahun 275 Hijrah.
4. Abu Isa at-Tirmidzi, lahir tahun 209 Hijrah, dan wafat tahun 279 Hijrah.
5. Ahmad bin Syu’aib an-Nasa’I, lahir tahun 214 Hijrah, dan wafat tahun 303 Hijrah.
6. Ibnu Majah al-Quzwaini, lahir tahun 207 Hijrah, dan wafat tahun 275 Hijrah.

Sufyan al-Tsauri berkata: Ketika para perawi banyak melakukan dusta, maka kami gunakan sejarah untuk melawan mereka. Di antara manfaatnya adalah mengetahui bersambung atau terputusnya sanad. Hafsh bin Ghiyats berkata: Bila kamu menemukan suatu kecurigaan pada seorang perawi, maka perhitungkanlah ia dengan tahun. Yakni hitunglah umurnya dan umur orang yang ia riwayatkan.

Afir bin Mi’dan al-Kala’i berkata: Suatu hari datang kepadaku Umar bin Musa Himsh, lalu kami berkumpul di masjid. Kemudian ia berkata: Telah meriwayatkan hadis kepadaku gurumu yang soleh. Setelah ia berbicara banyak, maka saya tanya kepadanya: Siapa yang anda maksudkan sebagai guru kami yang soleh itu? Sebutkanlah namanya agar kami mengetahuinya! Namanya adalah Khalid bin Mi’dan, jawabnya. Aku bertanya lagi: Tahun berapa anda bertemu dengannya? Pada tahun 108 Hijrah, jawabnya. Di manakah anda bertemu? desakku. Di pergunungan Armenia. Kemudian aku berkata: Bertakwalah kepada Allah, wahai Syeikh! Dan jangan berdusta. Khalid bin Mi’dan itu telah wafat pada tahun 104 Hijrah. Dan anda mengaku bertemu dengannya empat tahun setelah ia wafat.

Al-Hakim berkata: Ketika datang kepada kami Muhammad bin Hatim al-Kasysyi dan meriwayatkan kepadaku sebuah hadis dari Abd bin Humaid, maka aku tanyakan kepadanya tahun kelahiran orang itu. Ia menjawab, bahawa Abd lahir pada tahun 260 Hijrah. Kemudian aku katakan kepada murid-muridku bahawa Syeikh ini mendengar hadis dari Abd bin Humaid tiga belas tahun setelah ia meninggal.

Abu Khalid al-Saqa’ pada tahun 209 Hijrah mengaku mendengar hadis dari Anas bin Malik dan melihat Abdullah bin Umar. Abu Nu’aim bertanya hairan: Waktu itu berapa tahun umurnya? Berumur 125 tahun, jawabnya. Abu Nu’aim berkata: Sesuai dengan pengakuannya, Ibnu Umar telah wafat lima tahun sebelum Abu Khalid sendiri lahir.

Oleh kerana itulah para ulama menekankan kepada para penuntut ilmu hadis agar terlebih dahulu menguasai sejarah dan mengetahui tahun wafatnya para guru hadis, mengingat ia termasuk cabang ilmu hadis yang paling penting.

Sanad
Pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat tidak terlalu mementingkan masalah isnad. Ini kerana, mereka dapat saling menjaga, mempercayai dan komitmen dengan keislaman mereka. Sehingga manakala ada permasalahan berkaitan hadis, mereka tidak segan-segan untuk bertanyakan kepada sahabat-sahabat yang lain. Bahkan, tidak jarang mereka langsung terus menanyakan kepada Rasulullah SAW. Para sahabat juga dianggap memiliki keadilan (’adalah) atas periwayatan mereka.

Namun, selepas kewafatan Rasulullah SAW, dan kekuasaan Islam semakin meluas, serta agama Islam dipeluk oleh banyak masyarakat bukan Arab, mulailah para sahabat dan tabi’in menanyakan tentang isnad, jikalau mereka mendengarkan sebuah hadis.

Puncaknya adalah pada masa syahidnya Saidina Utsman bin Affan RA. Beberapa kelompok penyeleweng muncul, dan orang-orang ahli bid’ah pun membuat sanad-sanad semahunya untuk menyandarkan sejumlah teks hadis yang mereka pegangi untuk membela bid’ahnya. Kemudian mereka membuat hadis-hadis yang tidak pernah diucapkan oleh Rasulullah SAW. Zaman itu kemudian dikenal sebagai awal munculnya pemalsuan hadis.

Oleh kerana itulah, para sahabat dan tabi’in sangat berhati-hati dalam menerima hadis. Mereka terlebih dahulu menanyakan tentang sanad dari hadis yang disampaikan oleh seseorang. Muhammad bin Sirin mengungkapkan:

حَدَّثَنَا أَبُو جَعْفَرٍ مُحَمَّدُ بْنُ الصَّبَّاحِ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ زَكَرِيَّاءَ عَنْ عَاصِمٍ الأَحْوَلِ عَنِ ابْنِ سِيرِينَ قَالَ لَمْ يَكُونُوا يَسْأَلُونَ عَنِ الإِسْنَادِ فَلَمَّا وَقَعَتِ الْفِتْنَةُ قَالُوا سَمُّوا لَنَا رِجَالَكُمْ فَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ السُّنَّةِ فَيُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ وَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ الْبِدَعِ فَلاَ يُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ.

Dahulu mereka tidak bertanyakan tentang isnad. Namun, setelah terjadi fitnah, mereka akan berkata kepada setiap orang yang membawa hadis: Sebutkanlah kepada kami nama-nama rijalmu! Kemudian dilihat nama tersebut, apabila para perawinya adalah mereka yang mengikuti sunnah (ahli sunnah), segera mereka menerimanya. Dan apabila para perawinya adalah ahli bid’ah, mereka segera menolaknya.

Kata Muhammad bin Sirin:
إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ.

Sesungguhnya ilmu ini (ilmu sanad) adalah bahagian dari din (agama Islam). Oleh kerana itulah hendaknya kalian melihat dari siapa kalian mengambil din kalian.


Kata Abdullah bin al-Mubarak:

الإِسْنَادُ مِنَ الدِّينِ وَلَوْلاَ الإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ.

Sanad merupakan bahagian dari ad-din (Islam). Jikalau bukan kerana sanad, maka setiap orang akan berkata apa sahaja yang diinginkannya.

Ikhtilath

Ikhtilath dari segi bahasa bermaksud rosaknya akal. Dikatakan, ikhtilatha fulanun, yang bererti akalnya si fulan rosak. Menurut istilah, akalnya rusak atau tidak teraturnya ucapan kerana sudah pikun atau buta, atau kitabnya terbakar, atau sebab-sebab yang lain.

Terdapat beberapa jenis ikhtilat:

1. Ikhtilath kerana pikun (nyanyuk): Seperti yang menimpa Atha bin Saib ats-Tsaqafi al-Kufi.

2. Ikhtilath kerana hilangnya penglihatan: Seperti yang menimpa Abdurrazak bin Hammam as-Shan’ani. Namun setelah beberapa lama mengalami kebutaan, beliau dapat mengembalikan kecerdasannya. Di antara para rawi yang meriwayatkan hadis darinya sebelum ia mengalami kekacauan adalah para imam seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahaweh, Ali bin al-Madini, Waki’ dan Yahya bin Ma’in (mendengar hadis darinya sebelum tahun 200 Hijrah).

3. Ikhtilath kerana sebab lain: Seperti kitabnya terbakar. Hal ini menimpa Abdullah bin Luhaimah al-Mishri. Lalu ia meriwayatkan hadis hanya berdasarkan hafalannya, sehingga terjadi kekacauan dalam hadisnya.

Hukum hadis rawi tsiqah yang dituduh mengalami kekacauan telah ditetapkan oleh para muhadditsin dengan dua cara. Pertama, hadis yang didengar dari mereka sebelum mengalami kekacauan. Maka hadis seperti ini dapat diterima dan dapat dijadikan hujah. Kedua, hadis yang didengar setelah mengalami kekacauan atau tidak dapat dipastikan sebelum atau selepas kekacauan. Maka hadis seperti jenis kedua ini ditolak dan tidak dapat diterima (sebagai hujah).


6. SUMBER RUJUKAN.


1. Dr. Nuruddin Itr. Ulum al-Hadits Jilid 1 (Terjemahan dari kitab Manhaj al-Naqd fi Ulum al-Hadith). PT Remaja Rosdakarya, Bandung. Cetakan kedua, 1995.

2. Dr. Mahmud Thahan. Ilmu Hadits Praktis (Terjemahan dari kitab Taisir Musthalahul al-Hadith). Pustaka Thariqul Izzah, Bogor. Cetakan ketiga, 2005.

3. Dr. Musa bin Fathullah Harun. Kajian tentang al-Quran al-Karim dan Al-Sunnah Nabawiyah. Uruscetak oleh Syarikat Meza. Kuala Lumpur. Cetakan pertama, 1996.

4. Dr. Abdul Wahab Khallaf. Kaidah-kaidah Hukum Islam. Risalah Bandung. Indonesia. Cetakan kedua, 1985.

5. Imam Muslim bin Hajjaj al-Naisaburi. Terjemahan Hadis Shahih Muslim. Klang Book Centre. Kuala Lumpur. Cetakan ketujuh, 2005.

No comments:

Post a Comment