Merujuk kepada al-Mu’jam al-Arabi al-Asasi dan Taisir Musthalahul Hadith (karya Dr. Mahmud Thahan): Hadis dari segi bahasa bermaksud baru (jadid). Dan menurut kesepakatan jumhur ulama, dari segi istilahnya ia memberi maksud sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW baik berupa percakapan, perbuatan, pengakuan (taqrir) dan sifat. Hadis juga merupakan suatu al-Hikmah yang diberikan kepada umat Islam oleh Allah SWT.
Dalam kitab Fiqh Al-Sirah (karya Dr.Sa’id Ramadhan Al-Buti) ada menyatakan bahawa orang Arab dahulu merupakan bangsa yang ummi, tidak pandai membaca mahupun menulis. Kemudian dijelaskan oleh Dr. Nuruddin ’Itr di dalam kitabnya Manhaj al-Naqd fi Ulum al-Hadith: ”(Tetapi) mereka mampu menghafal segala nasab-nasab mereka meskipun panjang dan berantaian ke beberapa generasi. Dengan sekali dengar, mereka sudah dapat menghafal syair-syair yang panjang, khutbah dan lainnya sebagaimana tercatat di dalam sejarah. Ini merupakan suatu kebanggaan yang tidak pernah dimiliki oleh umat lain. Bangsa Arab yakin bahawa tiada kebahagiaan di dunia, keuntungan di akhirat dan tidak ada jalan menuju kemuliaan dan kedudukan yang terhormat di antara umat lain melainkan agama Islam ini. Sebab itu mereka mempelajari seluruh hadis Baginda SAW dengan penuh perhatian. Dan tanpa ragu lagi, seandainya hal ini sahaja yang mereka pertimbangkan (menuntut ilmu hadis), maka sudah cukup untuk memperkuat daya hafalan mereka sebagaimana dapat dirasakan oleh setiap orang”.
Inilah yang menjadi titik utama dalam menggoncang hati para sahabat untuk mengembara mencari hadis Baginda SAW walaupun demi mendengarkan satu hadis sahaja, tanpa mengira satu hadis itu panjang ataupun hanya terdiri daripada beberapa kalimat sahaja (pendek).
Dr. Mahmud Thahan menyambung: ”Mereka menempuh perjalanan yang sulit dan melelahkan dengan jiwa yang penuh keredhaan. Mereka menghabiskan hidupnya untuk mengumpulkan hadis, memeliharanya, dengan kepedulian dan usaha yang sungguh-sungguh serta waktu yang hampir-hampir tidak masuk akal. Setelah seorang pencari hadis berhasil mengumpulkan sebuah hadis dari seorang syeikh di suatu negeri, maka ia segera melanjutkan lagi perjalanan ke negeri atau tempat yang lain, baik dekat ataupun jauh untuk mencari hadis dari para rawi yang ada di tempat itu”.
Misalnya salah seorang sahabat nabi, Abu Ayyub al-Anshari, beliau telah mengadakan perjalanan ke Mesir untuk menjumpai Uqbah bin Amir. Kemudian dia berkata: Ceritakanlah kepada kami suatu hadis yang engkau dengar daripada Rasulullah SAW dan tidak didengar oleh orang selainmu. Maka Uqbah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa menutupi keaiban seorang mukmin di dunia, maka Allah akan menutupi keaibannya di akhirat kelak. Setelah itu Abu Ayyub naik ke atas kenderaannya dan pulang.
Di dalam kitab al-Rihlah fi Thalab al-Hadith karya al-Khathib al-Baghdadi menceritakan bahawa Sa’id bin Musayyab, ia berkata: Sesungguhnya saya pernah menempuh suatu perjalanan beberapa hari, siang dan malam demi mendapatkan suatu hadis. Begitu juga Jabir bin Abdullah yang pergi ke Mesir menjumpai seorang sahabat nabi untuk mengetahui suatu hadis mengenai hari kiamat.
Sebenarnya pengembaraan sahabat telah terjadi sebelum kewafatan Rasulullah SAW lagi, buktinya di dalam kitab Shahihain (Shahih Bukhari dan Shahih Muslim) ada dicatatkan kisah utusan Abdul Qais yang datang dari suku Bani Rabi’ah ke Kota Madinah untuk mendapatkan nasihat Baginda SAW. Begitu juga yang terjadi dengan kehadiran Orang Nejd ke Madinah , seorang ’Arabi yang menuju ke kota Madinah. Mereka semua dikira mengembara bagi mendapatkan hadis (pesanan daripada Rasulullah SAW buat mereka).
Tugas mencari, mengumpul dan menjaga periwayatan hadis ini juga dirasakan sebagai suatu amanah besar oleh para ulama di kalangan tabi’in dan tabi’ tabi’in yang lain. Lihat sahaja Imam Syafi’i yang berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah berjumpa dengan Imam Malik demi mendengarkan hadis daripadanya secara langsung (as-sama’), sedangkan ketika di Mekah beliau telahpun hafalkan dari ingatannya segala hadis di dalam kitab Imam Malik yang dinamakan al-Muwattha’ itu.
Tidak lupa juga jasa anak murid Imam Syafi’i yang merupakan seorang ulama besar sama ada dalam bidang fiqh mahupun hadis, iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. Di dalam kitab Bidayah Wan-Nihayah Ibnu Kathir, diceritakan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal sudahpun mengelilingi seluruh negeri dan daerah serta mempelajari hadis daripada guru-guru hadis yang ada pada waktu itu. Bukti kebenaran perjalanan beliau sudah dapat kita lihat melalui hasil karyanya yang mengagumkan, iaitu Musnad Ahmad bin Hanbal.
Di dalam kitab al-Rihlah fi Thalab al-Hadith karya al-Khatib al-Baghdadi, ada menceritakan pengembaraan jauh yang ditempuhi oleh Abdullah bin Mubarak demi mencari dan menuntut ilmu hadis. Kata Imam Ahmad bin Hanbal: Tiadalah pada masa Abdullah bin Mubarak, melainkan dia telah menuntut ilmu hadis daripada Yaman, Mesir, Syam, Basrah, dan Kufah. Hinggakan Zakaria bin ’Adiy pernah berkata: Aku melihat Ibnu al-Mubarak di dalam tidur (mimpi), maka aku bertanya kepadanya: Apakah yang Allah telah lakukan terhadapmu? Ibnu al-Mubarak menjawab: Bahkan Allah telah mengampuniku disebabkan perjalananku dalam mencari hadis.
Natijah yang dapat kita ambil melalui kisah pengembaraan ini, bahawa sekalian para sahabat Rasulullah SAW itu, berserta golongan selepasnya yang terdiri dari kalangan tabi’in juga tabi’ tabi’in, mereka benar-benar berusaha dalam mencari, mengumpul dan memelihara hadis Baginda SAW, agar syiar Islam dapat diperkembangkan dan dipertahankan. Juga demi cinta dan kasih sayang mereka terhadap Baginda SAW yang mana wajar menjadi iktibar bagi kita selaku umatnya.
Wednesday, January 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment