Pages

Saturday, June 26, 2010

Kedudukan Tangan Ketika Berdiri Dalam Solat

Syeikh Arsyad al-Banjari berkata di dalam kitabnya, Sabilal Muhtadin:

Disunatkan ketika berdiri tegak dalam solat mengenggam tangan kanan pada pergelangan tangan kiri. Diletakkan di bawah dada dan di atas pusat kerana mengikuti praktik Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim serta lainnya (an-Nasa’i, Ibnu Khuzaimah dan lainnya).

Hikmah meletakkan kedua tangan seperti itu di bawah dada di atas pusat agar orang yang solat terpelihara hati dan fikirannya.
__________________________________________

Riwayat al-Bukhari:
عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ كَانَ النَّاسُ يُؤْمَرُونَ أَنْ يَضَعَ الرَّجُلُ الْيَدَ الْيُمْنَى عَلَى ذِرَاعِهِ الْيُسْرَى فِى الصَّلاَةِ . قَالَ أَبُو حَازِمٍ لاَ أَعْلَمُهُ إِلاَّ يَنْمِى ذَلِكَ إِلَى النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - . قَالَ إِسْمَاعِيلُ يُنْمَى ذَلِكَ . وَلَمْ يَقُلْ يَنْمِى .
Maksudnya:
Daripada Sahl bin Sa’d, katanya: "Orang-orang diperintahkan supaya meletakkan tangan kanan di atas lengan tangan yang kiri dalam shalat." Abu Hazim berkata, "Aku tidak mengetahui melainkan ia (Sahl bin Sa'ad) menisbatkan perintah itu kepada Nabi." Isma'il berkata, "Perintah itu dinisbatkan, dan ia tidak mengatakan, 'menisbatkan'."

Hukum hadis ini marfu’. Dan ianya diletakkan pada:
باب وَضْعِ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى
Maksudnya: Bab Meletakkan Tangan Kanan di atas Tangan Kiri.
_________________________________________

Riwayat Muslim:
عَنْ أَبِيهِ وَائِلِ بْنِ حُجْرٍ أَنَّهُ رَأَى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- رَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ دَخَلَ فِى الصَّلاَةِ كَبَّرَ - وَصَفَ هَمَّامٌ حِيَالَ أُذُنَيْهِ - ثُمَّ الْتَحَفَ بِثَوْبِهِ ثُمَّ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى فَلَمَّا أَرَادَ أَنْ يَرْكَعَ أَخْرَجَ يَدَيْهِ مِنَ الثَّوْبِ.
Maksudnya:
Dari Wail bin Hujr r.a. katanya dia melihat Nabi s.a.w. mengangkat kedua tangan pada permulaan solat setentang dengan kedua telinganya sambil membaca takbir. Kemudian bajunya dilipat lalu diletakkan tangan kanan atas tangan kiri. Ketika beliau hendak rukuk, dikeluarkannya kedua tangannya dari lipatan baju.

Hadis ini diletakkan di bawah tajuk:
باب وَضْعِ يَدِهِ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى بَعْدَ تَكْبِيرَةِ الإِحْرَامِ تَحْتَ صَدْرِهِ فَوْقَ سُرَّتِهِ
Maksudnya:
Bab Meletakkan Tangan Kanan Atas Tangan Kiri Selepas Takbiratul Ihram Di Bawah Dada Dan Di Atas Pusat.

___________________________________________

Riwayat an-Nasa’i, berkata Wail bin Hujr:
ثُمَّ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى كَفِّهِ الْيُسْرَى وَالرُّسْغِ وَالسَّاعِدِ
Maksudnya:
"...Kemudian Baginda s.a.w. meletakkan tangan kanan di atas tapak tangan kiri (bahagian belakangnya), pergelangan tangan dan lengan kiri..."
__________________________________________

Riwayat Ibnu Khuzaimah:

وَعَنْ وَائِلِ بْنِ حُجْرٍ قَالَ : صَلَّيْت مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَوَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى يَدِهِ الْيُسْرَى عَلَى صَدْرِهِ . أَخْرَجَهُ ابْنُ خُزَيْمَةَ .

Maksudnya:
Dari Wail bin Hujrin berkata: Saya pernah solat bersama Nabi s.a.w. baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya pada dada beliau. Riwayat Ibnu Khuzaimah dan dinilai Sahih oleh beliau.

-Maksud "pada dada beliau" di sini ialah "berdekatan sangat dengan dada beliau s.a.w.".
__________________________________________

Wallahu a'lam bis shawab...


Rujukan:
1. Sabilal Muhtadin.
2. Fiqh Manhaji Ala Mazhab asy-Syafie.
3. Bulughul Maram.
4. Fathul Baari Syarh Sahih al-Bukhari.
5. RIngkasan Bahrul Madzi.

No comments:

Post a Comment