Pages

Saturday, June 26, 2010

Sambutan Maulidurrasul

Seperti yang telah dimaklumi bahawa sambutan Maulidur Rasul pada awalnya telah dimulai pada pemerintahan Dinasti Fatimiyah di Mesir yang berfahaman Syiah. Mereka melakukan secara besar-besaran.

Selepas sahaja Salahuddin al-Ayyubi menguasai Mesir, maka semua tradisi Dinasti Fatimiyyah telah dibatalkan. Namun begitu, sambutan Maulidur rasul masih lagi diadakan secara kecil-kecilan lingkungan dari keluarga istana.

Sekali lagi sambutan Maulidur Rasul telah disambut secara besar-besaran oleh Sultan Muzaffarudin di Irak. Sultan ini sangat dekat dan akrab dengan para ulama. Sultan juga berfahaman Sunni. Dan Sambutan Maulidur Rasul itu disambut baik oleh para alim di sekitarnya.

Sejak itu, perselisihan pendapat terjadi mengenai hukum menyambut Maulid Nabi s.a.w..

Di sini, saya sekadar cukup mengemukakan hujah mereka yang membolehkan menyambutnya.
________________________________________
1. Berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam Surah Ibrahim ayat 5:

وَذَكِّرْهُمْ بِأَيَّامِ اللَّهِ

Maksudnya:
"...dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah ".

Imam al-Alusi di dalam kitab tafsirnya, Ruhul Ma'ani berkata:
"Kelahiran Rasulullah merupakan nikmat yang paling besar, maka ianya patut selalu diingat dan disebut-sebut dalam sebuah peringatan."
________________________________________

2. Juga, berdasarkan hadis Nabi s.a.w. Hadis ini telah disahihkan Imam Muslim dalam kitab Sahih Muslim.
وَحَدَّثَنِى زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ مَهْدِىٍّ حَدَّثَنَا مَهْدِىُّ بْنُ مَيْمُونٍ عَنْ غَيْلاَنَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَعْبَدٍ الزِّمَّانِىِّ عَنْ أَبِى قَتَادَةَ الأَنْصَارِىِّ رضى الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- سُئِلَ عَنْ صَوْمِ الاِثْنَيْنِ فَقَالَ « فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَىَّ ».

Maksudnya:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah ditanya mengenai amalan Rasulullah s.a.w. berpuasa pada Hari Isnin. Lalu, Baginda s.a.w. jawab: Pada hari itu aku dilahirkan dan diturunkan kepadaku (al-Qur'an).
_________________________________________

Peringatan!
- Hendaklah sambutan Maulidur Rasul yang diadakan tidak campuri perkara-perkara yang boleh menjadikan ianya Haram.
- Dibolehkan menyambut Maulid Nabi s.a.w. dengan ibadah-ibadah am (umum) seperti berzikir dan berselawat, membaca atau mendengarkan bacaan al-Qur'an dan mengadakan jamuan makan.

Sepertimana nukilan dari tulisan mufti Mesir, Dr. Ali Jum'ah dalam kitabnya al-Bayanul Qawim Litashih Ba'dhil Mafahim:

"Sesungguhnya Salafussoleh telah mengamalkan sambutan maulid sejak kurun yg ke 4 dan ke 5 lagi. Mereka menghidupkan malam Maulid dengan melakukan pelbagai ibadah seperti menjamu makanan, membaca al-Quran dan zikir, mendendangkan syair-syair dan puisi-puisi memuji Baginda s.a.w. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ramai ahli sejarah dan ulama seperti Ibnul Jauzi, Ibnu Katsir, Ibnu Hajar dan Syeikh Jalaluddin as-Suyuthi, semoga Allah merahmati mereka semua."
________________________________________

Wallahu a'lam bis shawab...

Rujukan:
1. Artikel Ustaz Umar Muhammad Nur.
2. Liku-liku Bid'ah dan Masalah Khilafiyyah.
3. Argumentasi Ulama Syafi'iyyah.
4. Al-Bayanul Qawim Litashih Ba'dhil Mafahim.

No comments:

Post a Comment