Pages

Saturday, June 26, 2010

Tafsir Surah Al-Hadid Ayat 27

Firman Allah s.w.t.:
ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَى آَثَارِهِمْ بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَآَتَيْنَاهُ الْإِنْجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلَّا ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللَّهِ فَمَا رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا فَآَتَيْنَا الَّذِينَ آَمَنُوا مِنْهُمْ أَجْرَهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ (27)

Maksudnya:
Kemudian Kami iringkan di belakang mereka dengan rasul-rasul Kami dan Kami iringkan (pula) dengan Isa putra Maryam; dan Kami berikan kepadanya Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keridhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang fasik.
________________________________________

Terdapat 2 penafsiran oleh mufassirin (ahli tafsir) berkaitan ayat ini:

1. Secara ringkas maksud ayat ini ialah ditujukan kepada orang-orang yang mengadakan rahbaniyyah, akan tetapi mereka mengingkari (tidak mahu beriman) dengan Nabi Allah yang datang kepada mereka iaitu Nabi Isa dan Nabi Muhammad s.a.w. Maka, perbuatan rahbaniyah tadi dikira jelek (bid’ah).

2. Menurut sebahagian Mufassirin, maksud ayat ini ialah bolehnya melakukan rahbaniyyah tetapi dengan dengan dua kemestian, iaitu selaras dengan tuntutan syarak semasa (syariat Islam, bukan syariat agama lain) dan istiqamah dalam melakukannya.
________________________________________
Penafsiran Pertama mengikut hadis,

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a, ia berkata: Rasulullah SAW bertanya kepadaku: Wahai Ibnu Mas’ud! Ya, saya, jawabku kepada Rasulullah s.a.w. baginda bersabda: Tahukah kamu bahawa Bani Israel berpecah kepada 72 kumpulan. (Namun) yang selamat hanya 3 kumpulan sahaja, iaitu (kumpulan) selepas Nabi Isa dan di celah-celah kerajaan tirani dan diktator (pada masa itu). Mereka ialah:

1. Kumpulan yang tampil berdakwah kepada agama Allah dan agama Isa bin Maryam. Mereka memerangi para pemerintah tirani. Ramai terbunuh, namun mereka sabar dan akhirnya mereka berjaya dan selamat.

2. Kumpulan yang menyeru kepada agama Allah dan agama Isa bin Maryam. Mereka berjuang memerangi raja-raja diktator dan pemerintah tirani. Ramai dari kalangan mereka terbunuh, digergaji dan dibakar dengan api. Tetapi mereka tabah dan akhirnya berjaya selamat.

3. Kumpulan ini tidak berdaya untuk berperang dan berjuang. Tidak mampu menegakkan keadilan. Mereka hanya mampu membawa diri di gua-gua untuk beribadat dan menjadi rahib. Kumpulan inilah yang disebut oleh Allah s.w.t. dalam ayat (bermaksud): ....Mereka mengada-adakan rahbaniyyah, padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka...(al-Hadid ayat 27).
___________________________________________

Penafsiran Kedua berdasarkan hadis,
Sa'id bin Manshur dan Ismail Al Qadhi meriwayatkan dari Abu Umamah Al Bahili RA, ia berkata, "Kamu mengadakan qiyamullail pada bulan Ramadhan sedangkan hal itu tidak diwajibkan atas kamu. Yang diwajibkan atas kamu hanyalah puasa, maka terus-meneruslah bangun malam jika kamu memang mengerjakannya dan jangan kamu tinggalkan, karena bani Israil mengadakan bid'ah yang tidak diwajibkan Allah kepada mereka dengan tujuan mencari keridhaan Allah, namun mereka tidak memeliharanya dengan semestinya. Oleh sebab itu, Allah menegur mereka karena meninggalkannya." Ia lalu membaca, "Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah."
___________________________________________

Terdapat beberapa kesimpulan yang boleh kita ambil.

1. Boleh menggunakan ayat ini untuk menentang perkara bid’ah, tetapi pengecualian kepada bid’ah hasanah atau disebut juga sunnah hasanah dalam syariat Islam.

2. Istiqamah dalam mengerjakan rahbaniyyah atau bid’ah hasanah penting. Sepertimana kata Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir: Justeru, wajar bagi sesiapa yang melakukan bid’ah yang baik agar konsisten dengannya dan tidak menyimpang daripada maksud asal.
_____________________________________________

Wallahu a’lam bis shawab...

Rujukan:
1. Tafsir Jalalain. Syeikh Jalaluddin al-Mahalli & Syeikh Jalaluddin as-Suyuthi.
2. Tafsir al-Munir. Dr. Wahbah az-Zuhaili.
3. Itqan ash-Shan’ah fi Tahqiq Makna al-Bid’ah. Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari.
4. al-I’tishom. Imam asy-Syatibi.

No comments:

Post a Comment