Pages

Saturday, June 26, 2010

Sentuh Wanita Batal Wudhuk

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji Ala Mazhab asy-Syafie ada menyenaraikan beberapa perkara yang boleh membatalkan wuduk, antaranya:
Lelaki/ suami menyentuh isterinya atau perempuan ajnabiyyah tanpa berlapik. Ketika itu batal wuduk keduanya. Ajnabiyyah ialah perempuan yang halal kahwin dengannya. Firman Allah Taala ketika menjelaskan perkara-perkara yang mewajibkan wuduk, iaitu Surah an-Nisa’ ayat 43:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا.

Maksudnya:
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub , terkecuali sekedar berlalu saja, hingga kamu mandi. Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci). Sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pema'af lagi Maha Pengampun.
________________________________________

Syeikh Arsyad al-Banjari dalam kitab beliau (Sabilal Muhtadin) menambah:

"Demikian juga tidak batal wuduk lelaki dewasa dengan menyentuh anak perempuan yang belum mencapai usia yang dapat membangkitkan syahwat oleh lelaki normal dan sebaliknya. Dan tidak batal wuduk perempuan dewasa dengan menyentuh anak lelaki yang belum mencapai usia yang dapat menimbulkan syahwat oleh perempuan yang normal dan sebaliknya."

Wallahu a'lam bis shawab...
_________________________________________

Adapun hujah mazhab Syafie ada 3:

1. Laamastum (maksud sentuhan di situ ialah) dengan makna Laamastum (sentuhan sebenar, bukan jimak / setubuh), iaitu kamu menyentuh, adalah SEBAGAIMANA yang terdapat pada QIRAAT YANG MUTAWATIR.

2. Lafaz "atau sedang dalam musafir" bermaksud dalam perjalanan sedangkan kamu dalam keadaan junub atau berhadas besar. -Tafsir Jalalain-

Dikuatkan dengan riwayat-riwayat yang terdapat di dalam kitab Lubabun Nuqul fi Asbabin Nuzul.

Dalam riwayat ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah an-Nisa' ayat 43) adalah berkenaan dengan seseorang yang berjunub (berhadas besar) di dalam perjalanan (ketika safar), lalu dia bertayamum dan terus menunaikan solat. Oleh itu, penurunan ayat ini adalah petunjuk kepada orang yang berhadas besar yang dalam perjalanan (safar) dan ketika itu tiada air. (Diriwayatkan oleh al-Faryabi, Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Munzir dari Ali)

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa al-Asla' dalam keadaan junub ketika dalam perjalanan (safar) bersama Rasulullah. Pada waktu itu malam sangat sejuk dan bila dia takut untuk mandi dengan air yang terlalu sejuk ditakuti ia boleh menyebabkan kematian atau kesakitan. lalu, perkara ini disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Maka turunlah ayat di atas sebagai tuntutan bagi orang-orang yang takut akan bahaya kesejukan jikalau dia mandi. (Diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaih dari al-Asla' bin Syarik)

Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa pada suatu hari di dalam perjalanan (safar) Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan kepada al-Asla' khadam dan pembantunya untuk menyiapkan kenderaannya. Al-Asla' berkata: Wahai Rasulullah, aku sedang junub. Maka Rasulullah s.a.w. terdiam sehingga datang kepadanya Jibril membawa ayat tentang tayamum. (Riwayat Tabrani dari al-Asla')

Imam ar-Rabi' menerangkan bahawa maksud junub ialah bersetubuh sama ada keluar mani ataupun tidak. -Tafsir Imam Syafie-

Di dalam kitab Fiqh Manhaji menerangkan tentang sebab seseorang itu dikategorikan Junub ialah 2 perkara:
1. Keluar mani (mungkin dikeranakan mimpi).
2. Persetubuhan (walaupun tidak keluar mani).

Jadi, ayat yang terangkan tentang Jimak atau setubuh sudah disebut. Maka lafaz selepas itu iaitu "atau sentuh wanita" bermaksud persentuhan sebenar. Bukan bermaksud Jimak lagi.

Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahawa maksud lafaz "atau sentuh wanita" ialah jimak atau setubuh.

Tetapi menurut Ibnu Umar dan Ibnu Mas'ud r.a., menyatakan bahawa maksud lafaz berkenaan sebagai persentuhan sebenar. Inilah yang dipilih dan disokong oleh Imam asy-Syafie.
__________________________________________

3. Imam asy-Syafie juga berhujah dengan cuba menyamakan antara sentuh perempuan Ajnabiyyah dengan sentuh kemaluan. Ini kerana kedua jenis persentuhan berkenaan boleh membuka peluang syahwat dengan peratus yang besar sekali kemungkinannya. Dan kedua jenis persentuhan berkenaan mengakibatkan batalnya wuduk.
_________________________________________

Wallahu a'lam bis shawab...

Perlu saya ingatkan!

Tulisan saya di sini sekadar ingin menyatakan hujah dalam mazhab Syafie. Sungguhpun demikian, ulama mazhab lain juga memiliki hujah mereka yang sama kuat. Jadi, adalah baik kita bersikap toleransi terhadap mereka, iaitu tidak memperlekehkan mazhab yang lain.
_______________________________________

Rujukan:
1. al-Fiqh al-Manhaji 'Ala Mazhab asy-Syafie.
2. Sabilal Muhtadin.
3. Tafsir Jalalain.
4. Tafsir Imam asy-Syafie.
5. Tafsir Ibnu Katsir.
6. Fiqh al-Islami Wa Adillatuh.

No comments:

Post a Comment